Rabu, 7 Disember 2011

DARI DULU DAH DIBERITAHU,NAMPAK MACAM TAK BERKESAN

Pakar ekonomi saran Malaysia tingkatkan keupayaan teknologi

KUALA LUMPUR: Malaysia seharusnya merancakkan lagi sektor pembuatan dengan memajukan keupayaan teknologi negara, kata Pakar Ekonomi Fakulti Ekonomi dan Politik Universiti Cambridge, Prof Ha-Joon Chang.


"Malaysia perlu membangunkan keupayaan produktif iaitu pengurusan dan teknologi menerusi pelaburan mampan dalam pemesinan, pendidikan dan latihan, penyelidikan serta pembangunan.
"Kesemua ini mesti disokong oleh dasar yang lebih baik berkaitan dengan pemerolehan kerajaan, kebajikan sosial dan lain-lain bidang," katanya dalam ceramah umum anjuran Program Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu dan Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa di sini, hari ini.
Beliau berkata, dalam 2008, Malaysia mempunyai penguasaan tertinggi teknologi tinggi dan eksport yang dihasilkan di dunia.

Chang berkata, walaupun Malaysia adalah antara ekonomi paling pesat berkembang di dunia dalam separuh abad yang lalu, ia tidak sepantas atau ditransformasikan secara terancang seperti negara seperti Korea Selatan dan Singapura.

"Malaysia mesti meningkatkan usaha untuk membangunkan syarikat tempatan yang boleh bersaing di pasaran dunia terutamanya dalam industri yang dipromosi kerajaan seperti automobil dan keluli," katanya

Beliau berkata, usaha Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi mesti digerakkan oleh sektor pembuatan, yang menawarkan pertumbuhan produktiviti yang lebih baik berbanding perkhidmatan.
"Ia adalah satu mitos iaitu hanya negara berasaskan perkhidmatan adalah berpendapatan tinggi dan ekonomi yang berpengetahuan," katanya.

Beliau memberi contoh Singapura dan Switzerland yang terus menambah nilai kepada ekonomi masing-masing menerusi pembuatan.

Beliau menegaskan, ia salah sekiranya mengasingkan sektor pembuatan daripada sektor pengetahuan.

"Mengikut sejarah, pembuatan menjadi pusat pembelajaran, sumber utama kepada pengetahuan produktif yang baru.

"Perkhidmatan seperti kewangan, reka bentuk dan kejuruteraan hanya boleh dimajukan selepas kita memperoleh keupayaan untuk menghasilkan produk yang berkaitan.

"Perkhidmatan ini dijual terutamanya kepada syarikat pembuatan, jadi kekayaan mereka bergantung kepada kejayaan pembuatan," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan