Rabu, 7 Disember 2011

Berapa juta pula balak dan bakau di tebang ?

Rakyat Kita Pun Bertanya, bagaimana dan berapa juta pula yang telah di tebang secara sah dan tak sah?

Sejuta pokok ditanam di Johor

PONTIAN 7 Dis. - Sebanyak sejuta pokok berjaya ditanam di seluruh negeri bersempena kempen menanam 26 juta pokok sehingga 2014 yang dilancarkan pada April lalu dengan sambutan menggalakkan semua pihak sama ada sektor awam atau swasta.
Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Yahaya Mohamood berkata, ia menunjukkan peningkatan kesedaran di kalangan masyarakat dalam peri pentingnya usaha pengekalan kawasan hijau bagi melahirkan persekitaran yang bersih dan sihat.
"Hutan merupakan elemen yang penting dan tanpanya boleh mendatangkan pelbagai fenomena serta kejadian bencana alam seperti berlakunya tsunami pada 2004 lalu.
"Sebagai agensi yang bertanggungjawab, kami komited untuk terus memelihara dan melindungi alam sekitar sihat dan berkualiti adalah penting untuk menjamin kesejahteraan penghuninya," katanya ketika merasmikan kempen menanam 26 juta pokok dengan tema Greening The Earth di Pusat Kokurikulum Johor di Sungai Tempayan, Pekan Nanas, di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Pontian, Ab. Rahim Lamin dan Ketua Pegawai Kewangan, Panasonic System Network (M) Sdn. Bhd., Junyo Makino dan kakitangan syarikat tersebut.
Program anjuran Jabatan Perhutanan negeri, PPD Pontian serta Syarikat Panasonic System Network (M) Sdn. Bhd itu melibatkan penanaman 1,000 batang pokok dari pelbagai jenis seperti kelat paya, merawan, siput jantan, pulai, bintangor, meranti tembaga, karas dan sebagainya.
Ia disertai pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Sebatang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Baloi, penuntut Kolej Kemahiran Belia Negara (KKBN) Pontian serta penduduk Kampung Sungai Tempayan.
Yahaya berkata, aktiviti yang dirancang ini bagi memupuk generasi muda berwawasan yang dapat memahami tentang pentingnya keseimbangan dari segi pembangunan serta pemeliharaan alam sekitar.
"Oleh itu dalam setiap kempen menanam pokok, penganjur akan melibatkan sama pelajar-pelajar sekolah mahupun institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memberikan pendedahan kepada mereka," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan