Pusat: 'Oportunis terdesak mahu rosak Kita'
G MANIMARAN
26 Februari 2012
SHAH ALAM - Kepimpinan pusat Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita)
menyifatkan tindakan beberapa pemimpin peringkat negeri termasuk yang
telah dipecat sebagai "oportunis terdesak" sehingga sanggup mengeluarkan
kenyataan kononnya parti berusia setahun itu telah sebulat suara
menolak kepimpinan Datuk Zaid Ibrahim selaku ketuanya berkuat kuasa
semalam dan memilih penggantinya.
Ketika dihubungi
Sinar Harian Online, Setiausaha Kita, Masrum
Dayat berkata, tindakan beberapa pemimpin terbabit tidak akan membawa
sebarang kesan dan implikasi ke atas Kita.
"Kami tiada masalah, dia kalau nak mendakwa dia sebagai ketua, boleh.
Kami tiada masalah. Kepimpinan pusat, Datuk Zaid masih sah," katanya.
"Kami melihat ia satu tindakan pihak oportunis yang terdesak. Parti
masih kukuh dengan Datuk Zaid masih ketua," kata beliau dengan merujuk
kepada Zamil Ibrahim, yang awal bulan ini dipecat dari Kita. Ketika itu,
Zamil merupakan Pengerusi Kita Kedah.
Turut dipecat awal bulan ini ialah Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng iaitu Pengerusi Kita Pulau Pinang.
"Zamil bukan pun anggota jawatankuasa eksekutif, beliau telah dipecat
pada 7 Februari lalu. Tan Tee Beng pun telah dipecat pada 7 Februari.
"Jadi macam mana hendak panggil Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).
Sekarang, mereka bukan ahli parti pun, mereka tidak membuat rayuan
sehingga kini, tempoh rayuan (14 hari) pun sudah berakhir," katanya
lagi.
Masrum berkata, mesyuarat yang dikatakan diadakan di Kota Bharu semalam
hanya dihadiri oleh beberapa pemimpin termasuk Pengerusi Kita Kelantan
dan Zamil.
Mengikut laporan media, Pengerusi Kita Kelantan, Abdullah Sani Musa
berkata, perkara itu diputuskan pada EGM yang diadakan di Kota Bahru,
semalam.
"Kami juga menolak serta tidak mengiktiraf pemecatan dua pemimpin parti Kita, Zamil dan Tan Tee Beng.
"Kami sebulat suara memilih Zamil untuk mengambil alih jawatan ketua
parti yang kini dinamakan sebagai Presiden dan beliau akan dibantu
Pengerusi Kita Sabah, Datuk Pangeran Othman Rauf dan bekas presiden
AKIM, Zakaria Salleh," katanya.
Pada 2 Februari lalu, Zaid dilaporkan membuat kenyataan mahu
membubarkan parti itu serta mendakwa penubuhan Kita adalah satu
kesilapan.
Sementara itu, Zamil berkata, beliau akan menghantar laporan kepada
beberapa pihak berkuasa termasuk Pendaftar Pertubuhan berhubung apa yang
berlaku dalam Kita sejak sebulan lalu.
Katanya, keahlian parti itu akan dikemas kini dan semua urusan parti itu kini beroperasi di Sungai Petani, Kedah.
Dalam pada itu, Pengerusi Kita Johor, Dr Mohd Zaid Mohd Yusof menyifatkan kenyataan Zamil sebagai hanya "retorik politik."
"Setahu saya pada awalnya perjuangan dari pengerusi-pengerusi Kita di
pringkat negeri adalah bertujuan untuk memastikan Datuk Zaid menarik
balik hasratnya untuk membubarkan parti ini, ia berkesudahan dengan
persetujuan sebulat suara dari jawatankuasa eksekutif parti di peringkat
pusat untuk tidak membubarkan parti ini, malah telah dibentangkan pada
mesyuarat tersebut terdapatnya anasir yang cuba menyebabkan parti ini
diperalatkan oleh golongan tertentu dalam kaedah pihak tertentu untuk
memyebabkan Pakatan Rakyat dikalahkan pada PRU13, sebab itulah disyaki
ada pihak dalaman yang bertanggugnjawab menyebabkan ketua parti sangat
kecewa dengan mereka yang terbabit, dan ekoran dari itu Zamil Ibrahim
Pengerusi Kita Kedah telah dipecat," katanya.
Kata Mohd Zaid, insiden itu menyebabkan beliau tidak berpuas hati dan menawarkan dirinya sebagai pengganti kepada Zaid.
Namun katanya, tidak mendapat respons ketua-ketua peringkat negeri dan
perkembangan itu menunjukkan seolah-olah beliau bertindak seperti orang
terdesak dengan mendakwa Zaid tidak layak menjadi Ketua Kita.
"Pada 25 Februari ini ternyata tiada mesyuarat tahunan parti seperti
yang disangkakan kerana mesyuarat tersebut telah ditunda dan Zamil
beserta dengan siapa pun yang tidak diketahui telah mengadakan mesyuarat
dan melahirkan pengistiharan dia sebagai ketua yang diangkat oleh
mereka yang hadir.
"Kepada saya kalau ingin sangat jadi ketua, dia kena buka parti dia
sendiri atau kembali ke parti Kita dan hadir pda mesyuarat yang sah, dan
tidak mustahil jawatankuasa eksekutif parti boleh membuka ruang
kepadanya untuk dia memohon semula menjadi ahli parti Kita," katanya
lagi.
Mohd Zaid juga menambah, beliau juga berpendapat di antara mereka hanya
hendak menggunakan Kita untuk bertanding pada pilihan raya sebagai satu
strategi memberi impak negetif kepada parti pembangkang.
"Justeru, tentulah Kita tidak boleh membenarkan partinya menjadi alat
kepada mana-mana pihak yang boleh disyaki, sebagai menggugat kredibiliti
parti," katanya lagi.