Zaid Ibrahim Diminta Berundur Sebelum Bubarkan KITA
KOTA BAHARU, 13 Feb (Bernama) -- Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA)
Kelantan mahu ketuanya Datuk Zaid Ibrahim mengundur diri daripada
menerajui parti sebelum membubarkan parti tersebut.Presiden KITA Kelantan Zakaria Salleh mendakwa kira-kira 4,000 anggota parti itu tidak bersetuju dengan cadangan Zaid untuk membubarkan parti itu kerana bertentangan dengan dasar penubuhan parti itu untuk menegakkan keadilan insan dan politik Islam.
"Cadangan pemimpin parti itu seolah-olah mengkhianati amanah pengasas parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Musa Salleh, sebelum (AKIM) ditukar dan didaftarkan semula atas nama baru iaitu KITA," katanya kepada pemberita di rumahnya di Taman Wangi, Pasir Tumbuh, dekat sini Isnin.
Turut hadir bekas Timbalan Presiden AKIM, Rosly Mohd Zain.
Zakaria berkata anggota jawatankuasa parti peringkat negeri akan menghantar memorandum menggesa Zaid melepaskan jawatannya dan membatalkan niat untuk membubarkan parti itu sebelum majlis perjumpaan yang dijadual diadakan di sini, 25 Feb ini.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan