Jumaat, 24 Februari 2012

HAKIKAT POLITIK KINI KIAN MENYONGSANG:ANTARA PEMIMPIN DAN PENGIKUT.

Tun M : Pemimpin harus jaga kepentingan pengikut, bukan kehendak peribadi

February 24, 2012
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata segelintir pemimpin belia enggan melepaskan jawatan walaupun tidak lagi tergolong sebagai belia. — Gambar fail
KUALA LUMPUR, 24 Feb — Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melihat terdapatnya segelintir pemimpin di negara ini yang mengenepikan kepentingan pengikut mereka, sebaliknya mengutamakan matlamat individu bagi mencapai kepentingan sendiri.

Dr Mahathir yang berucap dalam sesi dialog bersama belia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menjelaskan, wujudnya segelintir pemimpin yang menggunakan pengikut mereka demi mencapai matlamat menawan Putrajaya, tanpa menghiraukan kepentingan penyokong mereka.

"Ada pemimpin yang buat pertubuhan, dan gunakan pengikut mereka untuk menawan Putrajaya. Itu bukan kepentingan pengikut, itu kepentingan mereka sendiri," katanya.

Jelas beliau, tanggungjawab pemimpin adalah menerajui tampuk pemerintahan dengan menentukan hala tuju sesebuah negara, dan bukannya menggunakan pengikut untuk mengangkat diri sendiri.

"Apabila pengikut sedar mereka hanya digunakan, mereka akan bangkit menentang kerajaan. Itulah seperti yang berlaku di Timur Tengah, apabila pengikut mula bertindak menjatuhkan pemimpin mereka," katanya lagi.

Tegasnya lagi, pengikut adalah mereka yang bertanggungjawab menentukan jatuh bangun seseorang pemimpin, oleh itu, setiap pemimpin seharusnya menjaga kepentingan pengikut mereka tanpa mengira sebarang perbezaan.

"Mungkin pengikut mereka itu masih sabar, tapi bila mereka hilang sabar, mereka akan bangkit menentang pemimpin mereka sendiri," tambahnya.

Dalam sesi soal jawab bersama kumpulan belia, Dr Mahathir yang juga merupakan Presiden Kehormat Yayasan Kepimpinan Perdana turut mengkritik sesetengah pemimpin belia yang sudah terlalu lama memegang jawatan dan enggan menyerahkannya kepada golongan pelapis mereka.

"Kita bukan tidak mahu melantik golongan belia, tetapi ada segelintir daripada mereka apabila sudah memegang jawatan melalui belia, enggan melepaskan jawatan itu walaupun mereka bukan lagi golongan belia, itu masalahnya," katanya menjawab soalan seorang peserta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan