najib
PENDANG - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakyat perlu bijak memilih parti yang mementingkan rakyat dan bukannya parti yang banyak masalah.

Perdana Menteri meminta rakyat tidak memberi sokongan kepada parti yang banyak masalah seperti mempunyai ideologi bertentangan.

"Ada kata itu, ada kata ini. Ada yang sokong Israel dan ada yang banyak masalah peribadi. Kita tak boleh pakai parti banyak masalah ini," katanya pada Karnival Kasih Perdana Menteri Bersama Masyarakat Siam Kedah dan Perlis di Wat Nanai, Kampung Tok Set dekat sini hari ini.

Hadir sama isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Anggota Dewan Negara yang mewakili masyarakat Siam Senator Boon Som Inong.

Najib berkata rakyat perlu menyokong Barisan Nasional (BN) kerana BN adalah kerajaan yang membela rakyat.

"Kita tak main politik. Kita tak janji bulan, bintang dan cakerawala. Kita tak janji tetapi kita buat. Kita dah buat sejak tiga tahun ini... beri kita lima tahun lagi dan kita akan ubah landskap sosio-ekonomi negara ini.

 "Kita akan capai wawasan kita untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020. Tapi untuk laksanakannya kita perlukan sokongan rakyat," tegas Perdana Menteri. - Bernama
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.