Isnin, 13 Februari 2012

MUNGKINKAH BERPUNCA DARI SERUAN TOK GURU ?

Nik Aziz Seru Anak Kelantan Pulang Mengundi PRU 13

PETALING JAYA 31 JULAI: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata atas dasar tanggungjawab untuk mengekalkan kerajaan Islam, seluruh anak jati negeri itu yang kini berada di perantauan diseru untuk pulang pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Himpunan Anak Kelantan D'Perantauan yang berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS itu berkata, rakyat negeri itu perlu pulang mengundi walau di mana mereka berada dan dengan apa cara sekalipun.

"Kalau ada duit naik kapal terbang, kalau tidak naik kereta, kalau tak dapat juga naik bas.

"Saya tak boleh jamin nak bayar duit, kena tanya bendahari la, kalau ada kita bagi," katanya di hadapan kira-kira 2,000 anak-anak Kelantan yang hadir.

Hadir sama pada majlis perasmian itu kesemua ahli mesyuarat kerajaan negeri termasuk Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob, Ahli-ahli parlimen dan Adun-adun Kelantan.

Selain mereka, wakil kerajaan negeri Selangor, Dr Yaakob Sapari yang juga Exco Pembangunan Pertanian, Pengurusan Alam dan Usahawan negeri turut bersama.

Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim juga hadir pada majlis tersebut.

Mengulas lanjut, menteri besar Kelantan itu juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada anak-anak Kelantan di perantauan ekoran kepulangan mereka pada pilihan raya umum 2008.

Kepulangan mereka itu jelasnya telah membantu kemenangan PAS untuk terus memerintah negeri itu.

Mengimbau kembali sejarah empat tahun lalu, beliau berkata kedudukan PAS di Kelantan agak genting sebelum PRU 2008 apabila hanya berkelebihan satu kerusi berbanding BN iaitu 23 PAS dan 22 BN.

Bagaimanapun, kepulangan anak-anak Kelantan pada PRU 2008 itu telah menyebabkan PAS kembali memperteguh kedudukan dengan mendapat 38 kerusi.

Sehubungan itu, kepulangan anak-anak Kelantan pada PRU akan datang sangat-sangat diharapkan.

Dalam pada itu,Nik Aziz sekali lagi menegaskan bahawa beliau menolak hasrat kerajaan pusat untuk menggunakan sistem biometrik pada PRU ke-13 akan datang.

Menurutnya, sistem itu bukan sahaja diragui banyak pihak malah terdedah dengan manipulasi oleh pihak yang berkepentingan.

"Umno guna biometrik bagi orang luar (dapat kerakyatan) boleh mengundi. Orang Bangladesh pun boleh mengundi nanti.

"Ini bukti Umno yakin orang Melayu dah tolak dia. Kalau PM (perdana menteri) menang pilihan raya pun nanti, kita kata ini PM Bangladesh," katanya disambut ketawa hadirin.

Sistem biometrik yang digunapakai kepada warga asing juga tegasnya boleh mengancam rakyat negara ini dari sudut kerjaya mereka.

Ini kerana, kebanyakan majikan tentunya akan mengambil orang asing bekerja kerana gaji mereka lebih murah.

Oleh itu, beliau mahu kerajaan menilai semula cadangan itu ataupun kembali kepada tuntutan asal Bersih 2.0 iaitu menggunakan dakwat kekal bagi menghalang penipuan undi berganda dan undi hantu.

Sementara itu, Himpunan Anak Kelantan D'Perantauan yang berlangsung satu hari yang bermula jam 9 pagi tadi menyaksikan hampir 10,000 rakyat Kelantan berkunjung ke stadium itu.

Selain dapat bersemuka dengan anggota exco kerajaan negeri dan wakil rakyat yang lain, oarang ramai juga boleh mengenali lebih dekat anak syarikat di bawah kerajaan negeri yang turut serta mengadakan pameran mereka hari ini.

Hadirin juga turut dihidangkan nasi gulai kawah serta pelbagai buah-buahan tempatan yang rata-ratanya disumbang oleh anak-anak Kelantan sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan