Sebahagian sedutan dari Ucapan Dato Zaid di Majlis Memperkenalkan Parti KITA.
Memang benar, parti baru ini dipandang dengan rasa curiga, malah dengan cemuhan. Ada
kalangan yang mempersoalkan keperluan wujudnya sebuah lagi parti politik. Mereka
meluahkan rasa tidak senang, melihatnya tidak lebih sebagai pengacau dalam pilihan raya
akan datang. Ia dianggap akan menjejaskan peluang pembangkang.
Parti KITA percaya masih ada ruang untuk politik yang berteraskan idealisme yang tulen di
Malaysia ini. Yang turut membezakan kita daripada yang lain ialah Parti KITA siap untuk
berjuang dalam jangka panjang. Tujuan Parti KITA bukan untuk mendapatkan sebanyak
mungkin bilangan kerusi dalam pilihan raya akan datang. Perjuangan Parti KITA bukan
hendak mengambil alih Putrajaya. Kita berjuang untuk membawa perubahan sebenar dalam
cara berpolitik dan nilai politik.
Parti KITA sedar bahawa anjakan yang kita inginkan ini akan mengambil masa untuk
membuahkan hasil. Tsunami politik tidak akan berpanjangan. Sifatnya adalah sementara. Ia
berlaku secara mendadak dan mengejutkan. Tetapi ujian sebenar tiba sebaik saja air telah
surut. Perubahan sebenar tidak terhasil melalui sikap gopoh dan tindakan spontan.
Perubahan sebenar dan berpanjangan lahir melalui evolusi, bukan revolusi.
Justeru, majlis pada hari ini adalah untuk meletakkan batu asas sebuah harapan baru buat
generasi masa depan Malaysia. Untuk memberi harapan kepada generasi muda bahawa
politik dan khidmat awam boleh dipulihkan maruahnya. Inilah Parti KITA.
Saya bukan orang muda. Perjalanan ini bakal memakan masa yang panjang dan mungkin
akan melepasi tempoh hayat saya. Usaha ini bukan untuk saya tetapi ia untuk anda, anak
anda, cucu-cicit anda. Justeru, Parti KITA bukan sebuah parti politik semata-mata, ia sebuah
gerakan, sebuah etos yang perlu diwarisi; sebuah permulaan.
Saya harap anda akan menyertai Parti KITA. Anda semua, muda-mudi berjiwa bebasmerdeka,
anda pemelihara masa depan Malaysia. Saya harap anda akan bersama-sama
untuk mencapai impian ini, untuk menghidupkan citra unggul ini, untuk memikul wawasan
gemilang bernama MALAYSIA.
Terima Kasih.
Zaid Ibrahim
19 Januari 2011, Kuala Lumpur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan