37 peratus ETP milik Johor
18 Februari 2012
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, rakyat perlu memberikan masa lima hingga lapan tahun lagi, di mana transformasi terbabit akan menjadikan Johor lebih unggul daripada Selangor dan Pulau Pinang.
“Ini berikutan 37 peratus projek pelaksanaan ETP yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan dilaksanakan dan berpusat di Johor. Ini bermakna lebih banyak pelaburan luar akan dibawa masuk ke negeri ini.
“Apa kurangnya kita daripada Singapura? Johor ada tanah yang luas dan kita bakal jadi kawasan ekonomi ulung dan maju, bukan saja di Malaysia, malah rantau ini dengan pelaksanaan pelbagai transformasi ekonomi khususnya di Iskandar Malaysia,” katanya pada majlis sambutan Tahun Baru Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yong Peng, di sini, malam semalam.
Hadir sama, Ahli Parlimen Ayer Hitam yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Yong Peng, Lim Kee Moi dan Adun Semarang, Datuk Samsolbari Jamali.
Sementara itu, Abdul Ghani berkata, pembangkang terutama Pas kini mula melaungkan keyakinan mampu melebarkan pengaruh mereka ke Johor.
“Pas sudah mula berangan mahu melantik Menteri Besar daripada kalangan pemimpin parti itu di negeri ini, tetapi percayalah, Johor akan terus menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan sukar digugat.
“Saya amat yakin masyarakat Johor terutama kaum Cina rasional serta tidak rela ianya terjadi dan saya berharap jangan memperjudikan masa depan kita,” katanya.
Katanya, beliau ikhlas memajukan Johor serta masyarakatnya tanpa mengira kaum, latar belakang dan kawasan.
“Saya bukan jayakan Johor untuk diri saya, keluarga, kawan, saya jayakan Johor untuk rakyat. Jangan percaya dakyah ditabur pembangkang yang mengatakan saya memajukan Johor untuk manfaat diri serta kawan saya.
“Saya ikhlas memajukan Johor untuk kemajuan rakyat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan