Ahad, 26 Februari 2012

MEREKA MENGGUNAKKAN KITA UNTUK MENUMPASKAN PEMBANGKANG ?

Pusat: 'Oportunis terdesak mahu rosak Kita'
G MANIMARAN
26 Februari 2012
ZAID IBRAHIM
SHAH ALAM - Kepimpinan pusat Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) menyifatkan tindakan beberapa pemimpin peringkat negeri termasuk yang telah dipecat sebagai "oportunis terdesak" sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan kononnya parti berusia setahun itu telah sebulat suara menolak kepimpinan Datuk Zaid Ibrahim selaku ketuanya berkuat kuasa semalam dan memilih penggantinya.
Ketika dihubungi Sinar Harian Online, Setiausaha Kita, Masrum Dayat berkata, tindakan beberapa pemimpin terbabit tidak akan membawa sebarang kesan dan implikasi ke atas Kita.
"Kami tiada masalah, dia kalau nak mendakwa dia sebagai ketua, boleh. Kami tiada masalah. Kepimpinan pusat, Datuk Zaid masih sah," katanya.
"Kami melihat ia satu tindakan pihak oportunis yang terdesak. Parti masih kukuh dengan Datuk Zaid masih ketua," kata beliau dengan merujuk kepada Zamil Ibrahim, yang awal bulan ini dipecat dari Kita. Ketika itu, Zamil merupakan Pengerusi Kita Kedah.
Turut dipecat awal bulan ini ialah Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng iaitu Pengerusi Kita Pulau Pinang.
"Zamil bukan pun anggota jawatankuasa eksekutif, beliau telah dipecat pada 7 Februari lalu. Tan Tee Beng pun telah dipecat pada 7 Februari.
"Jadi macam mana hendak panggil Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM). Sekarang, mereka bukan ahli parti pun, mereka tidak membuat rayuan sehingga kini, tempoh rayuan (14 hari) pun sudah berakhir," katanya lagi.
Masrum berkata, mesyuarat yang dikatakan diadakan di Kota Bharu semalam hanya dihadiri oleh beberapa pemimpin termasuk Pengerusi Kita Kelantan dan Zamil.
Mengikut laporan media, Pengerusi Kita Kelantan, Abdullah Sani Musa berkata, perkara itu diputuskan pada EGM  yang diadakan di Kota Bahru, semalam.
"Kami juga menolak serta tidak mengiktiraf pemecatan dua pemimpin parti Kita, Zamil dan  Tan Tee Beng.
"Kami sebulat suara memilih Zamil untuk mengambil alih jawatan ketua parti yang kini dinamakan sebagai Presiden dan beliau akan dibantu Pengerusi Kita Sabah, Datuk Pangeran Othman Rauf dan bekas presiden AKIM, Zakaria Salleh," katanya.
Pada 2 Februari lalu, Zaid dilaporkan membuat kenyataan mahu membubarkan parti itu serta mendakwa penubuhan Kita adalah satu kesilapan.
Sementara itu, Zamil berkata, beliau akan menghantar laporan kepada beberapa pihak berkuasa termasuk Pendaftar Pertubuhan berhubung apa yang berlaku dalam Kita sejak sebulan lalu.
Katanya, keahlian parti itu akan dikemas kini dan semua urusan parti itu kini beroperasi di Sungai Petani, Kedah.
Dalam pada itu, Pengerusi Kita Johor, Dr Mohd Zaid Mohd Yusof menyifatkan kenyataan Zamil sebagai hanya "retorik politik."
"Setahu saya pada awalnya perjuangan dari pengerusi-pengerusi Kita di pringkat negeri adalah bertujuan untuk memastikan Datuk Zaid menarik balik hasratnya untuk membubarkan parti ini, ia berkesudahan dengan persetujuan sebulat suara dari jawatankuasa eksekutif parti di peringkat pusat untuk tidak membubarkan parti  ini, malah telah dibentangkan pada mesyuarat tersebut terdapatnya anasir yang cuba menyebabkan parti ini diperalatkan oleh golongan tertentu dalam kaedah pihak tertentu untuk memyebabkan Pakatan Rakyat dikalahkan pada PRU13, sebab itulah disyaki ada pihak dalaman yang bertanggugnjawab menyebabkan ketua parti sangat kecewa dengan mereka yang terbabit, dan ekoran dari itu  Zamil Ibrahim Pengerusi Kita Kedah telah dipecat," katanya.
Kata Mohd Zaid, insiden itu menyebabkan beliau tidak berpuas hati dan menawarkan dirinya sebagai pengganti kepada Zaid.
Namun katanya, tidak mendapat respons ketua-ketua peringkat negeri dan perkembangan itu menunjukkan seolah-olah beliau bertindak seperti orang
terdesak dengan mendakwa Zaid tidak layak menjadi Ketua Kita.
"Pada 25 Februari ini ternyata tiada mesyuarat tahunan parti seperti yang disangkakan kerana mesyuarat tersebut telah ditunda dan Zamil beserta dengan siapa pun yang tidak diketahui telah mengadakan mesyuarat dan melahirkan pengistiharan dia sebagai ketua yang diangkat oleh mereka yang hadir.
"Kepada saya kalau ingin sangat jadi ketua, dia kena buka parti dia sendiri atau kembali ke parti Kita dan hadir pda mesyuarat yang sah, dan tidak mustahil jawatankuasa eksekutif parti boleh membuka ruang kepadanya untuk dia memohon semula menjadi ahli parti Kita," katanya lagi.
Mohd Zaid juga menambah, beliau juga berpendapat di antara mereka hanya hendak menggunakan Kita untuk bertanding pada pilihan raya sebagai satu strategi memberi impak negetif kepada parti pembangkang.
"Justeru, tentulah Kita tidak boleh membenarkan partinya menjadi alat kepada mana-mana pihak yang boleh disyaki, sebagai menggugat kredibiliti parti," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan