Jumaat, 11 September 2009

ANDA FIKIR ISU PERKAUMAN MELAYU DAN CINA: MALAYSIA DAN SINGAPURA

Saudara Pembaca,
Jika anda orang Melayu cuba fikirkan bagaimana Nasib Melayu di singapura dan di Malaysia pada ini, jika anda orang cina, anda juga perlu berfikir bagaimana cina Malaysia dan cina singapura masa kini; artikel dibawah ini boleh merangsang kita untuk membuat penilaian secara objektif. Berlaku jujurlah di dalam menilainya;-

MM Lee: S'pura akan jatuh jika kita lupa titik mula

Menteri Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew, menyertai perbahasan usul Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Viswa Sadasivan, berhubung Ikrar Negara di Parlimen kelmarin. Berikutan sedutan ucapan beliau.

ENCIK Rajaratnam mempunyai banyak nilai kebaikan di tengah-tengah gundah gulana ekoran daripada rusuhan kaum apabila kita dikeluarkan dari Malaysia. Melayu kita di Singapura agak khuatir kerana kini kita (kaum Cina) adalah kaum majoriti, kita (kaum Cina) sebaliknya akan melayani sebagaimana kaum majoriti Melayu (di Malaysia) melayani kita. Beliau melakar kata-kata ini dan menonjol daripada yang lain. Beliau seorang idealis yang baik. Drafnya datang kepada saya; saya potong mana yang tidak boleh dicapai, dan Ikrar yang ada sekarang ialah hasil beliau setelah saya memotongnya. Apakah ia? Satu ideologi? Tidak, ia satu aspirasi. Bolehkah kita mencapainya? Saya tidak tahu. Kita harus terus mencuba. Adakah kita satu bangsa? Dalam peralihan. Rujukan telah dibuat mengenai Perlembagaan. Perlembagaan Negara menyuruh kita secara khusus menjaga kedudukan kaum Melayu dan kaum minoriti lain. Artikel 152 berbunyi: 'Kaum minoriti dan kedudukan istimewa kaum Melayu. Menjadi tanggungjawab Pemerintah secara kerap untuk menjaga kepentingan kaum minoriti dan agama di Singapura. Pemerintah akan melaksana fungsinya dengan cara yang mengiktiraf kedudukan istimewa kaum Melayu, yang merupakan orang asal Singapura dan, sewajarnya menjadi juga tanggungjawab pemerintah melindungi, menjaga, menyokong, memupuk, menggalak kepentingan politik, pendidikan, agama, ekonomi, sosial dan budaya serta bahasa Melayu.' Dan mengenai agama orang Islam, Artikel 153: 'Badan Perundangan harus di bawah undang-undang, memberi laluan kepada mengawal ehwal agama Muslim dan membentuk sebuah majlis untuk menasihat Presiden dalam hal-hal agama Islam.' Perlembagaan kita menyatakan secara jelas bahawa adalah tanggungjawab Pemerintah untuk tidak melayani semua secara saksama. Ia bukan realiti, ia tidak praktikal, dan ia akan membawa kepada kerosakan besar jika kita berusaha atas dasar tersebut (iaitu melayani semua secara saksama). Jadi Ikrar itu ialah satu aspirasi. Ini kerana orang-orang Melayu telah maju dan ramai yang telah menyertai golongan pertengahan dengan ijazah universiti dan kelayakan profesional, kita telah meminta Mendaki agar mereka bersetuju untuk tidak mempunyai hak istimewa pendidikan percuma di universiti, tetapi menggunakan yuran yang mereka berhak dapat dan gunakan wang itu untuk membantu lebih ramai orang Melayu yang memerlukan. Jadi kita sedang berusaha mencapai satu kedudukan di mana terdapat satu tahap permainan setara bagi semua, tetapi ia perlukan masa berdekad-dekad, mungkin berabad-abad, dan kita mungkin tidak sampai ke sana. Sekarang saya akan bacakan Perlembagaan Amerika. Perenggan kedua mengenai Pengisytiharan Kemerdekaan pada 4 Julai, 1776 berbunyi: 'Kami berpegang pada kebenaran-kebenaran bahawa adalah terbukti dengan sendirinya bahawa semua orang dicipta sama, dan mereka dikurniakan oleh Pencipta mereka dengan beberapa hak yang tidak terpisah, dan antaranya ialah kehidupan, kebebasan dan mengejar kebahagiaan. Dan untuk mendapat hak-hak itu, Pemerintah dibentuk di kalangan manusia, mendapat kuasa yang adil daripada mereka yang diperintah.' Itu pada 1776. Perlembagaan Amerika Syarikat yang diluluskan beberapa tahun kemudian berbunyi: 'Kami, rakyat Amerika Syarikat' (ini merupakan kata pendahuluan) 'untuk membentuk sebuah Kesatuan yang lebih sempurna, mewujudkan keadilan, melindungi kedamaian domestik, menyediakan pertahanan bersama, menggalak kebajikan umum dan mendapat restu dan kebebasan bagi kami dan generasi akan datang, memerintahkan dan mengukuhkan Perlembagaan Amerika Syarikat.' Ia tidak menyentuh tentang kaum kulit hitam akan dilayani dengan berbeza. Namun kaum kulit hitam tidak mendapat mengundi hingga berdekad-dekad kemudian. Pengasingan kaum tidak berakhir sehingga Gerakan Hak Sivil pada 1960-an dengan Martin Luther King dan ucapan terkenalnya 'We Dare To Dream'. Rusuhan besar berlaku, dan akhirnya, Presiden Lyndon Johnson meluluskan Akta Hak Sivil pada 1964. Dari 1776, setelah lebih 200 tahun barulah seorang kaum kulit separuh hitam Amerika menjadi Presiden. Rakan saya berkata bahawa kita cuba memasukkan bod pepaku bercorak empat segi ke dalam lubang bulat. Bolehkah kita membuat bod pepaku itu sama? Tidak. Anda sarankan kepada kaum Melayu bahawa kita mansuhkan peruntukan (Artikel 152) dalam Perlembagaan, anda akan mendengar rasa kurang senang. Kita mulakan berdasarkan bahawa ini adalah realitinya: Kita tidak boleh mendapatkan seorang menteri Cina atau menteri India untuk mendesak ibu bapa Melayu supaya menjaga anak-anak perempuan mereka dengan lebih teliti dan tidak hamil semasa remaja, yang membawa kepada perkahwinan yang gagal. Bolehkah AP Cina atau AP India berbuat demikian? Kaum Melayu akan berkata kepadanya: 'Anda cuba campur tangan dalam kehidupan peribadi saya.' Tapi kita (Pemerintah) telah membiayai Mendaki dan Muis (Majlis Ugama Islam Singapura), dan mereka mempunyai jawatankuasa untuk cuba mengurangkan bilangan remaja nakal jahat sedemikian. Cara Singapura mengecap kemajuan ialah melalui pendekatan berperingkat-peringkat yang realistik. Kita mungkin mengambil masa berkurun-kurun lamanya sebelum kita capai kedudukan serupa di Amerika. Mereka pergi berperang, kaum kulit hitam dan putih bersama. Dalam Perang Dunia I, kaum kulit hitam tidak membawa senjata, mereka membawa peluru, mereka tidak diberi penghormatan untuk berjuang. Dalam Perang Dunia II, mereka kembali, bekas-bekas GI - mereka yang berjaya ke universiti diberi geran GI - mereka kembali ke tempat ghetto kaum kulit hitam dan kekal di sana. Hari ini masih ada kawasan ghetto kaum kulit hitam. Inilah realitinya. Perlembagaan Amerika tidak berkata yang anda akan melayani kaum kulit hitam berlainan cara tapi Perlembagaan kita menyatakan tanggungjawab Pemerintah ialah melayani kaum Melayu dan kaum minoriti lain dengan lebih teliti. Jadi dasar yang digunakan NMP itu bagi hujahnya tidak benar dan lemah. Ia sama sekali tidak benar, ia langsung tidak mempunyai asas. Saya berfikir dalam diri sendiri, mungkin saya harus kembalikan Dewan ini kepada realiti dan mengingatkan semua titik permulaan kita. Jika kita tidak mengenal dari mana kita mula, kita akan gagal. Tiada siapa yang boleh bercakap dengan pengetahuan yang saya ada; saya tahu keadaan semasa Ikrar itu dibuat. Saya mengagumi sentimen Encik Raja (mendiang S. Rajaratnam). Pada Ogos 1965, kebimbangan saya ialah apa yang akan dilakukan orang Melayu Singapura, setelah mereka menyedari mereka adalah kaum minoriti? Apabila saya pulang pada 9 Ogos, atas nasihat Cawangan Khas, saya tidak pulang ke rumah. Saya tinggal di Sri Temasek (di Istana), iaitu kediaman rasmi saya. Saya tinggal di sana selama seminggu, kemudian saya pergi ke Changi Cottage dan tinggal di sana selama dua bulan bagi memastikan kesemuanya kembali sedia kala. Itulah realitinya. Hari ini, 44 tahun kemudian, kita mempunyai sebuah masyarakat Melayu, yang saya percaya, aman, dan yakin bahawa kita tidak mengamalkan diskriminasi terhadap mereka, yakin bahawa kita menyertakan mereka dalam masyarakat kita. NMP Viswa pernah bekerja di Sinda. Saya diberitahu selama 10 tahun. Beliau tahu bahawa kaum India tidak serupa. Brahmin tidak akan menyertai Sinda. Yang bukan Brahmin berada dalam Sinda. Jadi saya fikir adalah berbahaya untuk membiarkan idea yang melebih-lebih berterusan tanpa dihapuskan dan memperdaya Singapura.
Kepada saya jika kita menilai pernyataan di atas, sudah cukup kita mengenali siapa pemimpin singapura itu, dan siapa pula pemimpin negara ini (Malaysia). Mengapa tafsiran seperti ini di bangkitkan, fikir fikirkanlah.

0 ulasan:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan