Rabu, 23 September 2009

SIAPA YANG BERBOHONG ?

Saudara Pembaca dua kenyataan yang berbeza, entahlah siapa yang berbohong;fikir fikirkanlah:
Menteri disiasat kes kertas kabinet bocor

Skandal PKFZ cabaran ketelusan sistem

PETALING JAYA 23 Sept. - Skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) akan menjadi cabaran positif untuk memperbaharui dan memastikan sistem negara yang lebih telus lagi.
"PKFZ merupakan peristiwa hitam dalam sejarah negara, tetapi hasil daripadanya akan menjadi satu cabaran yang positif untuk memperbaharui diri kita sendiri," kata Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low hari ini.
Low juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Sementara Pentadbiran dan Tadbir Urus Korporat PKFZ.
"Saya berharap apa yang berlaku dalam PKFZ akan menjadi contoh baik apa yang sepatutnya dilakukan bagi agensi lain dan agensi berkaitan kerajaan. Kita tidak boleh membazirkan sumber kita," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan hasil Laporan Rasuah Global 2009: Rasuah dan Sektor Swasta, di sini, hari ini.
Menyifatkannya sebagai satu daripada skandal terbesar tahun ini, Low berkata, jawatankuasa itu kini sedang mencari tiga pengarah bukan eksekutif bebas untuk menduduki lembaga.
Beliau berkata, sifat-sifat peribadi akan menjadi kriteria pertama bagi pengarah, sebelum kecekapan. "Mereka perlu mempunyai sikap bertanggungjawab dan tidak mempunyai kepentingan diri sendiri," katanya semasa ditanya mengenai kriteria pelantikan.
Calon-calon akan dipilih daripada mereka yang tidak mempunyai hubungan politik tetapi mahu membantu negara dan PKFZ serta mempunyai pengetahuan mengenai industri pelabuhan, katanya.
Mengenai sama ada tempoh beliau dalam jawatankuasa itu akan dilanjutkan, Low menjawab: "Jika perkara masih tidak selesai, saya mungkin meminta lanjutan." Jawatankuasa itu dijangka mempunyai masa sehingga Januari 2010 untuk menyelesaikan tugasannya. - BERNAMA

Sep 23, 09 5:04pm

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata menteri kabinet adalah antara individu yang akan dipanggil bagi memberi keterangan berhubung kes penyiaran dan penyebaran kertas kabinet mengenai isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Malaysia Today baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan siapa atau berapa menteri yang akan disoal untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab mendedahkan dokumen sulit itu yang membabitkan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

"Polis akan memanggil mereka yang dipercayai terlibat termasuklah menteri," katanya kepada pemberita selepas selesai melawat ibu pejabat polis daerah (IPD) Ampang Jaya hari ini.

Kertas kabinet mengenai PKFZ itu disiarkan di sebuah laman web didakwa sebagai memorandum daripada menteri kewangan berhubung PKFZ yang tertakluk kepada OSA.

Musa bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai isu itu kerana bimbang ia akan mengganggu siasatan.

Tanpa logo polis

Sementara itu, Musa berkata anggota polis berpakaian preman dan rondaan menggunakan kenderaan tanpa logo polis akan diperluaskan untuk mencegah jenayah dengan dengan lebih efektif.

Beliau berkata strategi itu akan terus diperluaskan dan dipraktikkan secara berperingkat di seluruh negara bagi mengekang pelbagai kejadian jenayah.

"Saya dah bincang untuk wujudkan pegawai serta anggota polis tanpa uniform dan ia telah dilaksanakan secara berperingkat. Separuh tempat sudah ada anggota yang ditugaskan untuk berkawal," kata Musa.

Anggota-anggota polis terbabit akan ditempatkan di semua kawasan dan tidak tertumpu kepada kawasan panas semata-mata.

"Kawasan hot spot (panas), kita sudah ada anggota kita sendiri dan anggota Rela (Ikatan Relawan Rakyat), bila ada pihak berkuasa... jenayah kurang berlaku di kawasan terbabit sebab mereka (penjenayah) lari ke kawasan lain dan kerana itu rondaan perlu dijalankan di semua tempat," katanya.

"Bila tiba musim perayaan berlaku juga kes-kes seperti samun dan rompak. Ini kerana pada waktu itu orang tidak ramai dan ini memberi kesempatan kepada suspek untuk melakukan jenayah.

"Kita berharap peniaga seperti pengusaha kedai emas agar lebih berwaspada ketika menjalankan perniagaan pada waktu ini (hari raya)," katanya. BERNAMA


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan