Sabtu, 25 Februari 2012

MASRUM SETIAUSAHA PARTI KITA ISTIHAR ZAMIL BUKAN AHLI PARTI KITA.

Pusat: 'Oportunis terdesak mahu rosak Kita'
Wartawan Sinar Harian
26 Februari 2012
ZAID IBRAHIM
SHAH ALAM - Kepimpinan pusat Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) menyifatkan tindakan beberapa pemimpin peringkat negeri termasuk yang telah dipecat sebagai "oportunis terdesak" sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan kononnya parti berusia setahun itu telah sebulat suara menolak kepimpinan Datuk Zaid Ibrahim selaku ketuanya berkuat kuasa dan memilih penggantinya, semalam.
Ketika dihubungi Sinar Harian Online, Setiausaha Kita, Masrum Dayat berkata, tindakan beberapa pemimpin terbabit tidak akan membawa sebarang kesan dan implikasi ke atas Kita.
"Kami tiada masalah, dia kalau nak mendakwa dia sebagai ketua, boleh. Kami tiada masalah. Kepimpinan pusat, Datuk Zaid masih sah," katanya.
"Kami melihat ia satu tindakan pihak oportunis yang terdesak. Parti masih kukuh dengan Datuk Zaid masih ketua," kata beliau dengan merujuk kepada Zamil Ibrahim, yang awal bulan ini dipecat dari Kita. Ketika itu, Zamil merupakan Pengerusi Kita Kedah.
Turut dipecat awal bulan ini ialah Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng iaitu Pengerusi Kita Pulau Pinang.
"Zamil bukan pun anggota jawatankuasa eksekutif, beliau telah dipecat pada 7 Februari lalu. Tan Tee Beng pun telah dipecat pada 7 Februari.
"Jadi macam mana hendak panggil Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM). Sekarang, mereka bukan ahli parti pun, mereka tidak membuat rayuan sehingga kini, tempoh rayuan (14 hari) pun sudah berakhir," katanya lagi.
Masrum berkata, mesyuarat yang dikatakan diadakan di Kota Bharu semalam hanya dihadiri oleh beberapa pemimpin termasuk Pengerusi Kita Kelantan dan Zamil.
Mengikut laporan media, Pengerusi Kita Kelantan, Abdullah Sani Musa berkata, perkara itu diputuskan pada EGM  yang diadakan di Kota Bahru, semalam.
"Kami juga menolak serta tidak mengiktiraf pemecatan dua pemimpin parti Kita, Zamil dan  Tan Tee Beng.
"Kami sebulat suara memilih Zamil untuk mengambil alih jawatan ketua parti yang kini dinamakan sebagai Presiden dan beliau akan dibantu Pengerusi Kita Sabah, Datuk Pangeran Othman Rauf dan bekas presiden AKIM, Zakaria Salleh," katanya.
Pada 2 Februari lalu, Zaid dilaporkan membuat kenyataan mahu membubarkan parti itu serta mendakwa penubuhan Kita adalah satu kesilapan.
Sementara itu, Zamil berkata, beliau akan menghantar laporan kepada beberapa pihak berkuasa termasuk Pendaftar Pertubuhan berhubung apa yang berlaku dalam Kita sejak sebulan lalu.
Katanya, keahlian parti itu akan dikemas kini dan semua urusan parti itu kini beroperasi di Sungai Petani, Kedah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan