Selasa, 14 Februari 2012

MUNGKIN KAH ADA RUANG IKLAN YANG MASIH KOSONG ?

Zaid: Kita bukan untuk disewa, dijual
G. MANIMARAN, MOHD FAZLI ZAINUL ABIDIN dan NORHASPIDA YATIM
11 Februari 2012
Zaid Ibrahim
PARTI Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) bukan parti untuk bertanding, masih banyak perlu diperbaiki kerana parti itu belum cukup kuat. Jika bertanding pun bukan tentu boleh menang, lebih baik membantu pembangkang bagi mewujudkan politik negara yang seimbang.

Inilah yang tidak boleh diterima pimpinannya hinggakan ada antara mereka yang kecewa apabila ketuanya, Datuk Zaid Ibrahim menyatakan langsung tidak akan mencalonkan wakil dari partinya bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Menurut Zaid, beliau adalah ketua parti, jadi semua ahli perlulah akur dengan aspirasi yang dibawa, kerana beliau menyelami apa yang dirancang termasuklah cadangan membubarkan parti yang lebih setahun ditubuhkan itu.

Dalam wawancara hampir sejam bersama G. MANIMARAN, MOHD FAZLI ZAINUL ABIDIN dan NORHASPIDA YATIM sesekali beliau mengakui kesilapan dalam mengendalikan parti. Beliau juga berkongsi pengalaman ketika pemilihan PKR dan masa depan BN dalam PRU13.



 Ramai yang masih tertanya-tanya bagaimana Datuk boleh mengambil keputusan drastik mahu pembubaran Kita, yang baru ditubuhkan. Ke mana Datuk mahu pergi selepas ini dalam suasana ketika kita bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13?

Zaid: Sebenarnya tiada apa-apa keputusan dibuat. Saya menulis dalam blog saya mengenai masalah dalaman parti. Kita perlu ingat, saya menerangkan masalah ada ramai ahli parti yang nampaknya seolah-olah mereka ini menentang saya sejak mula-mula penubuhan, sehingga ke hari ini. Itulah masalah yang saya hadapi, dan ia mungkin terjadi disebabkan beberapa kesilapan saya lakukan dalam mengambil ahli yang mungkin tidak secocok atau mungkin tidak memahami aspirasi politik saya.



Melihat kepada pendirian tersendiri Datuk dalam politik, Datuk sanggup melepaskan jawatan dalam kerajaan, sanggup dipecat Umno, Datuk terpaksa korbankan segala-galanya termasuk meninggalkan Pakatan Rakyat, boleh Datuk jelaskan perkara ini?

Zaid: Saya mempunyai pendirian tertentu mengenai politik negara ini dan ingin melihat politik yang lebih moderat, lebih demokratik, liberal dan sebagainya. Jadi, saya berhasrat untuk menubuhkan parti di mana ahlinya memahami aspirasi politik saya ini. Sudah tentu politik yang diasaskan itu mengikut pandangan dan buah fikiran pengasasnya. Kalau pengasasnya demokratik, ahlinya mestilah juga memahami asas itu manakala jika pengasasnya seorang yang moderat, maka ahlinya mestilah memahami aspirasi pemimpin untuk fahaman yang moderat, misalnya. Saya juga memiliki aspirasi dan fahaman politik. Malangnya, negara kita ini, mereka lebih suka menggunakan politik untuk merebut jawatan dan sebagainya. Ia menjadi seolah-olah kepastian. Misalnya, masuk politik mesti bertanding. Saya tahu, parti Kita ialah parti yang baru dan kecil. Jadi, saya menasihatkan ahli-ahli parti, tiga bulan dahulu, saya kata tidak perlulah bertanding kerana Kita tidak boleh menang, Kita parti kecil dan saya sendiri pun tidak bertanding sebab saya lebih suka kita terangkan, apa itu parti Kita, apa perjuangan parti Kita, asas parti Kita dan sebagainya. Tetapi, memandangkan ini musim pilihan raya, sudah tentu ramai yang mahu bertanding. Jadi, saya kata, kita bertanding jika ada peluang untuk menang. Kita tidak mahu dipergunakan oleh orang-orang tertentu, kumpulan tertentu. Anda semua tahu dalam politik ada yang bertanding banyak kerusi, hilang deposit semuanya. Kita tahu ada ahli politik yang bertanding semata-mata mahu melihat pecah undi dan mungkin mereka mendapat sesuatu. Ini pengalaman politik di Malaysia. Saya tidak mahu parti ini dipergunakan sedemikian. Parti ini bukan untuk dijual, disewa. Saya tidak benarkan perkara ini berlaku. Sebab itu, saya nasihatkan supaya tidak perlu bertanding, sebab itulah saya ditentang. Sebab itulah, saya cadangkan ahli parti yang tidak setuju dengan pendirian saya, kita ada dua pilihan iaitu memilih ketua baru yang secocok dengan kehendak ahli parti ataupun kita bubar sahajalah parti ini kalau mereka enggan mendengar apa yang saya cakap kerana saya pengasas parti ini, saya ketua parti. Sebab itu saya mencadangkan perkara berkenaan dalam blog saya mengapa tidak kita mempertimbangkan pembubaran kalau susah sangat kita nak ikut ketua. Tetapi, mereka bukan sahaja bila tidak bersetuju dengan saya, mereka terus melaporkan kepada media. Mereka terus buat sidang media di Putrajaya. Itu bukan satu tindakan ahli yang bertanggungjawab, kalau tidak setuju dengan ketua, maka ada saluran parti misalnya, kalau kita ada ramai penyokong, mana boleh bubar kerana pembubaran parti memerlukan sokongan 75 peratus ahli, itu cadangan sahaja. Saya sendiri pun belum tahu. Saya cuma ada satu undi, tidak perlulah kita terus pergi kepada media. Kalau mahu tukar ketua pun macam tu juga. Itu cara berpolitik. Kalau kita ada pengaruh, kita panggil penyokong kita untuk sebulat suara bahawa ketua sekarang tidak sesuai lagi, apa sebab kita sibuk-sibuk sampai kepada media.


Adakah Datuk bersedia sekiranya mereka mahu tukar ketua Kita?

Zaid: Inilah yang saya amalkan selalu. Saya kata, apa yang saya takutkan. Saya telah buktikan kepada semua orang bahawa jawatan tidak mustahak sangat. Banyak bukti yang telah saya lakukan sebelum ini, apa yang saya mahukan sangat untuk merebut jawatan? Untuk jadi wakil rakyat? Atau untuk dapatkan kerusi menjadi Ahli Parlimen semula? Saya lebih suka politik negara ini lebih matang, lebih berpaksikan kepada perkara yang betul. Jadi, kita tidak boleh dipergunakan oleh orang-orang tertentu. Mana boleh parti politik begitu. Jadi, ini perkara serius. Jadi, saya beritahu kita akan adakan mesyuarat, kalau tidak setuju dengan cadangan saya, beritahu. Yang saya hairannya, mengapa media-media Barisan Nasional (BN) begitu seronok dengan parti Kita sekarang? Mengapa begitu seronok dengan nasib politik saya ataupun berusaha benar sehingga Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sendiri komen, dia kata Zaid ini macam tiada kredibiliti. Sepatutnya, beliau sebagai TPM fikir mengenai nasib dia, saya tiada kena-mengena.


Datuk katakan bahawa kredibiliti parti yang mempengaruhi cadangan mahu membubarkan Kita. Boleh jelaskan?

Zaid: Saya takut, bila parti itu dilihat sebagai alat untuk dipergunakan, maka orang akan mengatakan sayalah individu di belakang usaha-usaha ini. Jadi, untuk mempertahankan kredibiliti parti, saya bertindak demikian, ia agak drastik tetapi ia bukan tindakan lagi, ia hanya cadangan.


Jika ini keadaannya, adakah Datuk berpendapat Kita masih mempunyai masa depan?

Zaid: Bukan Kita, tetapi prinsip perjuangan Kita, itu yang mustahak. Kita ini kalau diisi oleh orang-orang yang karut, maka karutlah parti. Kita merupakan satu platform, kalau ia diisi oleh orang yang tiada perjuangan parti politik sebenar, maka ia akan rosak. Saya berharap, ketika penubuhan itu, lebih ramai penyertaan anak-anak muda yang memahami, tetapi malangnya ia sukar. Banyak masalah yang saya hadapi sejak awal penubuhan Kita. Negara memerlukan politik yang sihat. Senario politik negara kita amat mendukacitakan, setiap hari tiada apa yang mahu dibahaskan melainkan cakap berkenaan keburukan orang, berita yang sebelah pihak, tidak objektif, tiada debat mengenai dasar, tiada bersemuka dalam hal-hal tertentu, macam dasar. Yang ada cuma propaganda-propaganda, hina, fitnah, gunakan parti-parti kecil untuk pecahkan undi. Ini bukan politik yang sihat, saya tidak mahu terlibat dalam perkara begini. Sebab itu saya kata tadi, kalau terpaksa kita tutup parti ini, kita tutup, tetapi kalau boleh kita selamatkan, kita selamatkan. Dengan erti kata lain, kita tidak mahu ada orang-orang macam ini. Kita akan berbincang mengenai perkara ini.



Adakah Kita memiliki masalah kewangan yang kritikal?

Zaid: Kita tidak memiliki masalah kewangan yang kritikal, maksudnya, jika memiliki kewangan yang kukuh, banyak program yang boleh dibuat, jika seorang sahaja yang menyalurkan bajet untuk itu, agak sukar.


Maksudnya di sini, hanya Datuk sahaja yang mengeluarkan wang untuk Kita?

Zaid: Ya, begitulah.


Dari segi tradisi, orang kata kalau parti politik mesti bertanding?

Zaid: Sebab itulah mereka tidak setuju dengan saya, pada pandangan saya tidak. Bertanding jika boleh menang, kalau tidak mesti dia ada matlamat dan niat lain. Saya sendiri, kalau saya berkorban, tidak mahu bertanding, apa salahnya jika ahli-ahli mengikut pandangan saya. Kita ada lakukan kajian dan mendapati sekiranya bertanding, kemungkinan besar tidak menang. Sebab itulah saya nasihatkan ahli supaya sokong pembangkang walaupun mereka tidak tahu benar atau tidak. Tetapi, kuasa politik perlu seimbang. Jika tidak, rakyat tidak akan mendapat manfaat. Bukan sebab lain. Kita mahu lihat demokrasi itu hidup, jika BN menang dua pertiga lagi, maka akan berulang lah 30 tahun lagi. Sebab itu saya kata, biarlah kita sokong pembangkang, sebab itulah ada yang tidak suka.


Adakah hubungan Datuk dengan PKR masih kuat selepas keluar dari parti itu?

Zaid: Saya tiada masalah dengan PR. Dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim pun saya tiada masalah, saya cuma mempertikaikan cara pemilihan dalam PKR. Saya kata saya tidak boleh terima cara ia dilakukan, tetapi dalam hal itu pun saya ada melakukan kesilapan. Saya bertanding dengan Azmin Ali (kini Timbalan Presiden) dalam PKR dan bila imbas kembali saya pun silap. Saya terbawa-bawa dengan sokongan yang ada pada masa itu. Saya mendapat sokongan yang baik pada masa itu dan saya fikir saya mampu untuk membantu Anwar dengan sokongan yang saya ada ketika itu. Tetapi bila fikir kembali, Anwar ketika itu dalam kesusahan dengan kesnya dan sudah tentu munasabah untuk dia lebih mempercayai Azmin kerana dia dalam kesusahan, silap saya kerana melawan Azmin ketika itu, tetapi saya tidak berkelahi dengan Azmin mahupun Anwar dan saya rasa lebih baik saya mengundur diri dan menubuhkan parti ini.


Adakah Datuk rasa keluar PKR merupakan satu kesilapan?

Zaid: Keluar PKR bukan silap, tapi silap lawan. Bila silap lawan, maka saya rasa lebih baik menubuhkan satu parti sendiri yang mempunyai nilai-nilai politik. Saya tidak rasakan saya seorang yang hanya idealis dan tidak praktikal.


Adakah Datuk terfikir untuk kembali kepada PKR sekiranya Kita dibubarkan?

Zaid: Tidak, saya tidak terfikir untuk masuk ke mana-mana parti. Saya masih dengan pendirian politik saya dan saya tidak bergaduh dengan sesiapa, masih rapat dengan pemimpin Pas macam dahulu. Saya berterima kasih dengan undangan untuk menyertai parti lain. Saya tidak mencari kerusi, saya tidak lakukan semua ini untuk memajukan karier politik saya, saya telah maju dalam karier politik. Saya tidak perlu jadi wakil rakyat lagi atau jadi Perdana Menteri, menteri. Mereka yang berpendapat begitu kerana tidak memahami politik saya.


Bila diimbas kembali, Datuk dipecat dari Umno, antara lain kerana Datuk memperjuangkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Tetapi pada hari ini, ISA (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) bersedia untuk memansuhkan ISA. Adakah ia membuktikan perjua-ngan Datuk berada pada landasan yang betul?

Zaid: Ya, saya rasa saya berada pada landasan yang betul. Saya hanya mahu pandangan saya diterima dan sedikit sebanyak memperbaiki keadaan politik negara. Itu kejayaan buat saya. Peranan pembangkang mi- salnya, walaupun pada ketika berkelahi dalam pembangkang dahulu, re-alitinya saya tiada masalah dengan mereka. Realitinya, saya gembira dengan pindaan ISA. Walaupun niat mereka untuk mencari undi. Saya sedikit sebanyak gembira kerana rakyat mendapat perhatian yang lebih daripada mereka dan mereka jaga rakyat dengan baik sedikit, sebab pembangkang kuat. Dalam hal ini, jika rakyat mahukan pembelaan, pembangkang perlu kuat. Kalau suatu hari nanti PR memerintah negara, jika pembangkang tidak kuat, maka kepincangan tetap akan berlaku. Itu maksud saya. Sebab itulah saya lebih suka memperjuangkan dasar-dasar ini dan bertanding itu tidak perlu. Kalau ada peluang yang realistik, kita barulah boleh bertanding. Bukan tidak mahu bertanding seumur hidup, tetapi biarlah bertanding jika ada kekuatan. Jika ada peluang realistik untuk menang, boleh bertanding.


Apa reaksi Datuk apabila ada yang melabel Datuk sebagai seorang yang ‘flip-flop’ atau memiliki pendirian yang sentiasa berubah?

Zaid: Yang ‘flip-flop’ itu siapa. Saya tidak ‘flip-flop’. Pada saya, saya ialah seorang ahli politik yang konsisten. Saya tidak ‘flip-flop’. Konsisten dari segi pendirian dan pengorbanan saya, termasuk juga dalam hal parti Kita, jika ia dipergunakan, saya rela korbankan. Saya tidak kata hari ini begini, esok macam lain. Soal parti sebegini tidak semestinya menjadi ‘headline news’. Apa yang susah sa- ngat sehingga menjadi polemik politik yang besar.


Ke mana Datuk mahu bergerak (dalam politik) selepas ini?

Zaid: Saya masih bergerak seperti sekarang. Jika ada perkara tertentu, saya akan bercakap, menulis dan menegakkan pendirian saya. Saya akan bantu pembangkang, jika pembangkang memerlukan saya bantu dalam hal-hal tertentu, saya akan bersedia menolong.


Adakah Datuk akan berkempen dalam pilihan raya akan datang?

Zaid: Saya akan bantu berkempen untuk kawan-kawan saya, tidak semua. Saya ada kawan seorang dua dalam Pas, DAP, PKR. Saya pun bukannya sihat sangat untuk berkempen ke seluruh negara. Susah dalam politik untuk kenal orang, semua baik-baik sahaja. Saya kenal ramai. Lagipun ramai yang tuduh saya macam-macam. Ini semua rekaan mereka yang suka menulis dan ia merupakan kehendak mereka yang mahu saya dilabel sebagai ahli politik yang tidak berpendirian. Mereka tidak boleh terima Zaid Ibrahim, tetapi saya tidak begitu, tindak tanduk saya adalah kerana saya mahu beri sumba- ngan kepada negara.


Jika ditawarkan kerusi oleh mana-mana parti untuk bertanding, adakah Datuk akan menerimanya?

Zaid: Buat masa ini, saya tidak boleh jawab soalan ini dan hanya akan menjawabnya sekiranya tawaran itu dilakukan. Jika saya jawab sekarang, ia hanya satu spekulasi dan akan besar-besarkan perkara ini. Tetapi, saya rasa untuk saya beri sumbangan dalam politik, tidak semestinya saya bertanding.


Datuk ada cadangan untuk menubuhkan NGO?

Zaid: Tidak, lagipun saya boleh bantu NGO lain yang ada. Apa yang penting idea saya. Saya cuma mahu ketengahkan satu idea mengenai sebuah negara yang memiliki demokrasi tulen berasaskan kepada keadaan sosial bebas dan ekonomi yang boleh membantu rakyat. Inilah yang membawa kepada kewujudan parti Kita.


Pandangan Datuk mengenai kewujudan ‘Third Force’ dalam arena politik negara ini sekarang?

Zaid: Kita tidak klasifikasi ia sebagai ‘Third Force’. Ia hanya budak-budak suruhan kumpulan tertentu. Kalau ada pun hanyalah kumpulan-kumpulan yang mempunyai ideologi yang sama dengan BN. Saya melihat ‘Third Force’ yang disebut itu sebagai subsidiari BN sahaja dan saya rasa ada usaha untuk menjadikan Kita sebagai subsidiari BN.


Melihat kepada senario PRU 2008, di mana BN hilang majoriti dua pertiga kerusi, adakah status itu akan kekal dalam PRU13?

Zaid: Pada saya, BN akan kalah kerana saya tidak melihat senario pada 2008 berlaku secara mengejut. Saya ada sebut dalam BN pada 2004, jika kita tidak berubah, kita akan diubah. Saya rasa ini sesuatu yang saya sebut awal-awal lagi. Saya tidak anggap saya pintar, tetapi ramalan saya itu betul. Saya harap PR akan jadi sebuah kerajaan yang baik, tetapi itu belum pasti lagi, tetapi sekurang-kurangnya rak- yat mahukan perubahan.


Mengapa Datuk begitu pasti BN akan kalah?

Zaid: Saya tidak kata saya begitu pasti, tetapi saya tidak nampak BN akan menang sebab tiada perubahan dalam BN, yang ada cuma beri duit, beri projek.


Bagaimana dengan faktor Datuk Seri Najib Razak (selaku ketua kerajaan dan BN)? Apakah ia tidak akan membantu BN?

Zaid: Najib membantu BN, tetapi Muhyiddin tidak membantu BN, (Datuk Seri) Shahrizat (Abdul Jalil) tidak membantu BN, (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) tidak membantu BN, (Datuk) Ibrahim Ali tidak membantu BN. Kalau seorang sahaja membantu BN, empat lagi tidak membantu, mana boleh berjaya.


Adakah ia punca PRU tidak diadakan dalam tempoh terdekat?

Zaid: Saya rasa tidak wajar. Saya rasa Perdana Menteri perlu tunggu lagi. Mungkin ia boleh berlaku tetapi saya rasa jika dia adakan PRU dalam masa terdekat, dia akan tewas. Banyak lagi perkara yang beliau perlu selesaikan.


Bagaimana Datuk melihat kewujudan Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) oleh Tengku Razaleigh dan Jati oleh Datuk Dr Hasan Mohamed Ali?

Zaid: Pada saya itu semua tidak meninggalkan sebarang kesan. Apa yang boleh dilakukan Hasan Ali adalah memburuk-burukkan Pas. Tetapi kita lihat dahulu pun perkara begini telah berlaku. Pas tidak akan terjejas dengan Datuk Hasan Mohamed Ali dan Umno tidak akan untung pun.


Bagaimana pula dengan Amanah?

Zaid: Saya tidak tahu tetapi saya melihat kegiatan Amanah juga sepi. Tengku Razaleigh masih juga orang Umno walaupun kadangkala kritikal kepada Umno. Dia masih lagi wakil rakyat Umno dan pemikiran serta sokongannya neutral kepada Umno.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan