Rabu, 8 Februari 2012

MEREKA KATA ! TENTANG CADANGAN BUBAR PARTI KITA

Pemimpin: Baik Zaid undur, bukan bubar Kita PDF Print E-mail
Berita | Politik
SHAH ALAM - Sebahagian besar kepimpinan negeri tidak bersetuju dengan pendirian Datuk Zaid Ibrahim yang mahu membubarkan Parti Keadilan Insan Tanah Air (Kita), sebaliknya menggesa beliau berundur jika sudah tidak mampu untuk mengemudi parti yang berusia setahun itu.
"Parti tidak berhadapan dengan sebarang masalah. Kalau Datuk Zaid sudah tidak mampu untuk memimpin Kita, saya mencadangkan kepada beliau berundurlah," kata Pengerusi Kita Kedah, Zamil Ibrahim kepada Sinar Harian Online malam ini.

Zamil yang sedang dalam ke ibu negara untuk mengadakan satu sidang media esok berkata, "Datuk Zaid kena tahu bahawa ini bukan syarikat, kita boleh tutup jika kita tidak suka."

Beliau menegaskan, jikapun cadangan Zaid untuk memubarkan Kita berjaya kelak, pihaknya akan menghidupkan semula parti berkenaan.

"Seperti yang disaksikan ketika 1988, Umno yang diharamkan, dihidupkan semula. Kami akan menghidupkan semula Kita," kata beliau sambil menggesa Zaid meneladani langkah Dato' Onn Jaafar yang memutuskan untuk meninggalkan Umno apabila tidak sehaluan dengan pendirian perwakilan dan kepimpinan lain.

"Dato' Onn tidak membubarkan parti, beliau keluar. Datuk Zaid kena berundur jika sudah tidak mampu lagi," katanya lagi.

Pagi tadi, Zaid berkata, Kita akan dibubarkan menerusi mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau berkata parti itu perlu dibubarkan, "untuk membuang mana-mana dan semua keraguan yang kita sesungguhnya menyokong pembangkang", khasnya ketika sesetengah anggotanya di Kedah dan Pulau Pinang dengan secara terbuka kritikal mengenai pakatan pembangkang Pas-DAP-PKR.

"Mereka sering melakukannya, yang jelas menunjukkan mereka tidak berminat dalam isu-isu sebenar membabitkan negara dan hanya mahu memalukan dan mencemuh pembangkang," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Kita Johor, Drs Mohd Zaid Mohd Yusof berkata, apa yang diperkatakan oleh Zaid adalah "satu cadangan" yang perlu dibincangkan dengan mendalam memandangkan parti itu sudah ada pengikut.

Melahirkan nada tidak bersetuju dengan cadangan pembubaran Kita, Mohd Zaid berkata, jika wujud masalah, perkara berkaitan perlu dibincangkan dan diadakan satu jawatankuasa untuk mencari penyelesaian.

"Kita kena bincang dan mencari penyelesaian. Jika ada masalah serius, kita tubuhkan jawatankuasa dan mencari penyelesaian kepada punca-punca masalah," katanya sambil menambah, pandangan yang sama dilahirkan oleh kepimpinan negeri.

"Kami, kepimpinan negeri Johor mahu perbincangan diadakan untuk mencari jalan penyelesaian. Perkara ini telah diputuskan oleh kepimpinan negeri Johor malam tadi selepas menerima mesej SMS daripada Datuk Zaid.

"Hari ini, saya telah mengadakan pertemuan dengan Datuk Zaid, dan memaklumkan bahawa perbincangan perlu diadakan untuk mencari penyelesaian, bukannya terus membubarkan Kita," kata beliau sambil menambah ada beberapa negeri lain yang turut tidak bersetuju dengan pendirian Zaid.

Zaid berkata, ideanya menubuhkan sebuah parti politik yang menyokong idea-idea yang sederhana dan progresif serta membawa kesopanan dan ketertiban kepada wacana politik telah gagal.

Zaid bagaimanapun tidak memberitahu bila EGM akan diadakan.   Parti itu yang genap setahun bulan lepas, ditubuhkan selepas Zaid meninggalkan PKR ekoran dakwaan ada penyelewengan dalam pemilihan PKR.

Sementara itu, Pengerusi Kita Sabah, Datuk Pangeran Othman Rauf berkata, Zaid tiada hak untuk membubarkan parti kerana keputusan itu hanya boleh dibuat oleh sekurang-kurangnya tiga perempat ahli majlis tertinggi parti melalui mesyuarat luar biasa.

Menurutnya, kegagalan Zaid sebagai ketua tidak boleh dibawa kepada pembubaran parti, tetapi Zaid sendiri boleh mengundurkan diri jika beliau rasa tidak mampu lagi mentadbir parti dengan baik.

“Parti hak ahli, bukan hak individu. Status ketua bukan platform untuk seseorang membuat keputusan. Sebarang keputusan perlu dilakukan dalam mesyuarat. Jika majoriti bersetuju, barulah boleh diteruskan. Jika tidak, ia harus dikekalkan,” kata Othman.

Othman berkata, beliau hanya tahu mengetahui hal cadangan Zaid untuk membubarkan Kita apabila dihubungi seorang lagi anggota pimpinan parti itu pagi ini.

“Berita itu sangat memeranjatkan saya dan kebanyakan ahli parti kerana Kita sudah melangkah terlalu jauh. Matlamat dan dasar perjuangan sudah diketahui umum. Jadi jika beliau berasa kecewa, ia sepatutnya dibawa ke mesyuarat. Di situ beliau boleh meluahkan rasa kecewa, marah dan sebagainya,” katanya.

Katanya, tindakan seumpama itu hanya memberi impak terhadap parti yang semakin mendapat kepercayaan rakyat negara ini.

“Di Sabah, Kita sudah bergerak terlalu jauh. Sudah terlalu banyak duit dilaburkan, jadi apabila perkara sebegini terjadi, ia sedikit sebanyak menjejaskan nama baik Kita. Jika ada masalah dana sekalipun, ia boleh dibawa berbincang. Tiada sebab Zaid membuat pengumuman seumpama itu,” katanya.

Setiausaha Pusat Kita, Masrum Dayat pula berkata, pembubaran parti perlu mengikut prosedur perlembagaan dan perlu didengar semua ahli Majlis Tertinggi.

“Mesyuarat perlu diadakan terlebih dahulu. Ia boleh diadakan dalam tempoh tiga hari selepas dimaklumkan ketua. Saya belum dimaklumkan mengenai tarikh mesyuarat dan menunggu arahan daripadanya.

“Setelah itu, barulah mesyuarat luar biasa diadakan di mana tiga per empat ahli perlu bersetuju dan barulah boleh dibubarkan,” katanya.

Masrum berkata, beliau sendiri hanya tahu perkara itu daripada laman web parti.

“Kami tidak tahu apa yang bermain di fikiran ketua. Kami hanya menunggu untuk diadakan mesyuarat kerana di situlah medan terbaik untuk meluahkan segala pandangan atau rasa tidak puas hati,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan