UCAPAN DASAR
KHAIRY JAMALUDDIN ABU BAKAR
KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA
SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG
PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA 2011
30 NOVEMBER 2011, 8.30 PAGI, DEWAN TUN HUSSEIN ONN, PWTC
“MEMACU GENERASI, MELAKAR TRANSFORMASI”
Yang Berbahagia Dato’ Pengerusi Tetap
Yang Berbahagia Saudara Timbalan Pengerusi Tetap
Wakil-wakil Majlis Tertinggi
Yang Berhormat Dato’ Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ketua-ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri
Para Perwakilan dan Pemerhati
1. Alhamdulillah,
segala puji bagi Allah Yang Maha Agung lagi Maha Penyayang. Selawat
dan salam ke atas Junjungan Terpuji, Penghulu segala Nabi, penyampai
risalah suci. Setinggi-tinggi kesyukuran kita rafakkan, kerana dengan
iradat, rahmat dan izin-Nya kita semua dapat berkumpul di Dewan Tun
Hussein Onn di pagi yang penuh barakah ini bagi melunaskan urusan
Perhimpunan Agung Tahunan Pergerakan Pemuda.
2. Hari
ini kita bersidang bagi menilai dan membahas bukan sahaja pencapaian
kita dan parti kita, bahkan hala tuju dan garis panduan perjuangan
seterusnya. Perkara ini selari dengan firman Allah SWT di dalam Surah
As-Syura ayat 38:
وَأَمۡرُهُمۡ شُورَىٰ بَيۡنَہُمۡ وَمِمَّا رَزَقۡنَـٰهُمۡ يُنفِقُونَ
Yang bermaksud: “
dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya”.
3. Perhimpunan
kali ini sangat penting dan besar ertinya buat kita
semua. Suka diingatkan bahawa perhimpunan ini, berkemungkinan besar,
yang terakhir sebelum kita berdepan dengan Pilihanraya Umum ke-13
(PRU-13). Inilah masa dan ruang untuk kita merapatkan ukhwah dan
membina kekuatan sayap sebagai bekalan perang. Inilah masa dan ruang
untuk kita mengukuhkan azam, menaman tekad serta menambah baik
perancangan bagi memastikan orang muda akan terus bersama-sama kita.
Para perwakilan sekalian,
4. Dewasa
ini, konsep perubahan atau “change” merupakan manterayang acapkali
disebut. Tetapi kita perlu sedar, perubahan berlaku dalam pelbagai
bentuk dan tahap. Ada perubahan yang kecil dan lazim. Ada pula
perubahan yang lebih besar dan menyeluruh – perubahan yang datang sekali
dalam beberapa generasi. Pada hemat saya, inilah bentuk perubahan yang
sedang kita saksikan. Berdasarkan lipatan sejarah pembinaan tamadun
manusia, terdapat beberapa detik yang merakam perubahan yang didasari
oleh peralihan generasi. Bagi saya, peralihan generasi berlaku apabila
sesuatu perubahan atau transformasi itu tidak hanya terbatas kepada
pengenalan dasar-dasar baru atau muka-muka baru. Malah ia
juga merupakan suatu kedatangan era yang menyaksikan munculnya
pemimpin-pemimpin berwawasan yang memperjuangkan perubahan yang
melangkaui zaman mereka – perubahan yang menguburkan norma-norma lapuk
yang sudah lama berakar umbi dalam masyarakat.
5. Contoh
yang mungkin diketahui ramai ialah peristiwa di Amerika
Syarikat. Rakyat negara tersebut pernah hidup dibelenggu Perang Dunia
Kedua dan Perang Dingin menentang kuasa Komunis Kesatuan
Soviet. Pemimpin-pemimpin mereka ketika itu terdiri daripada generasi
lama yang gagal memberi kesegaran dan suntikan baru dalam corak
pemerintahan negara. Kekontangan sedemikian berlarutan sehinggalah
munculnya John F. Kennedy, yang bukan hanya muda dan kelihatan muda,
tetapi telah berjaya membawa suatu mesej peralihan zaman dan program
perubahan yang menghidupkan semula harapan rakyat. Kemenangan beliau
sebagai Presiden Amerika Syarikat pada tahun 1961 merupakan satu detik
penting yang menandakan peralihan generasi. Ucapan sulung beliau selaku
Presiden dilakar dalam sejarah politik dunia sebagai satu sinar harapan
kepada rakyat Amerika. Harapan bahawa ketakutan yang mereka rasakan
selama hampir dua puluh tahun bakal berakhir. Harapan bahawa suatu
bentuk pentadbiran yang mencerminkan peralihan generasi secara
besar-besaran sudah tiba di Amerika.
6. Dalam
konteks sejarah Islam, perkara yang sama turut berlaku. Kita singkap
kisah Khalifah Harun al-Rashid, yang telah mengangkat Baghdad menjadi
pusat keilmuan dan perdagangan dunia pada kurun ke-9. Pembangunan
institusi sarjana seperti Baitul Hikmah serta prasarana perubatan,
ekonomi dan pendidikan yang maju telah memangkin pencapaian baru dalam
segenap aspek ketamadunan – sesuai dengan label Zaman Kegemilangan
Islam. Tetapi, jauh lebih penting daripada pembangunan institusi,
Khalifah Harun adalah pemimpin muda yang membawa nilai-nilai dan
pemikiran yang baru untuk melihat Baghdad menyumbang kepada perkembangan
tamadun pada skala yang lebih besar. Maka, meskipun mengambil alih
tampuk pemerintahan pada usia 20-an, era kepimpinan Khalifah Harun telah
menyaksikan perubahan yang signifikan dalam haluan tamadun Islam,
sekaligus menyumbang kepada pencapaian peradaban manusia secara
amnya. Kesemua ini bertitik tolak daripada kesanggupan melakukan suatu
transformasi besar-besaran.
Para perwakilan sekalian,
7. Dua contoh
ini menggambarkan betapa penting dan gentingnya peralihan generasi
dalam memacu kebangkitan dan haluan kemajuan serta nasib sesuatu
masyarakat, negara, mahupun umat manusia sejagat. Namun, yang bulat
takkan datang bergolek. Yang pipih takkan datang melayang. Haluan dan
nasib takkan berubah dengan sendirinya. Dalam semua kisah yang saya
kongsi sebentar tadi, wujud unsur-unsur anjakan pemikiran, kebangkitan
idealisme muda dan keberanian pemimpin memacu pembaharuan positif –
inilah yang saya istilahkan sebagai peralihan generasi.
8. Di
tanahair kita, saya percaya kita juga dapat melihat peralihan generasi
ini sedang berlaku. Kepimpinan Presiden parti kita, YAB Dato’ Seri Mohd
Najib Tun Abdul Razak, boleh dikatakan kepimpinan negara pertama yang
dibesarkan dalam era pasca-Merdeka. Maka tidak hairanlah jika YAB
Presiden amat memahami bahawa perubahan zaman sudah mula rancak
berlaku. Sekiranya kita ketinggalan dalam membuat transformasi, nescaya
rakyat tidak akan memaafkan kita. Kita perlu sedar, faktor besar yang
menentukan kalah menang dalam pilihanraya adalah pengundi muda yang
dianggarkan hampir 40 peratus. Golongan pengundi generasi baru ini
nyata mempunyai congakan dan pola pemikiran yang cukup berbeza daripada
generasi sebelumnya. Daripada saluran maklumat yang mereka pakai,
nilai-nilai yang mereka hargai, hobi yang mereka gemari sehinggalah
kepada persepsi dan sudut pandang mereka terhadap peranan pimpinan
politik – kesemuanya mencerminkan satu peralihan generasi yang mendukung
perubahan zaman. Syukur Alhamdulillah, kepimpinan YAB Presiden jelas
mempamerkan pemahaman jitu terhadap keperluan pengisian yang terancang
dalam meraikan peralihan generasi tersebut. Gagasan transformasi
ekonomi dan politik yang dilaksanakan membuktikan kesungguhan beliau
dalam memimpin UMNO menakhodai peralihan generasi kini.
9. Walau
bagaimanapun, saya ingin menegaskan bahawa sifat dan bentuk peralihan
generasi yang kita perlukan bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan
pengorbanan yang besar dan menyeluruh. Ia bukanlah seperti menyalin
tikar lama dengan mengkuang baru. Ia bukanlah sekadar suatu peralihan
kepimpinan lama dengan menggantikannya dengan wajah-wajah
muda. Sebaliknya, jauh lebih penting, ia adalah suatu tuntutan
perubahan yang meruntun penghijrahan tasawwur atau sudut pandang atau
“worldview”. Tasawwur yang berupaya menjadi titik tolak kepada segala
transformasi ekonomi dan amalan politik dalam Kerajaan mahupun
parti. Tasawwur yang selari dengan peredaran zaman. Tasawwur atau
“worldview” yang bertunjangkan acuan pemikiran tersendiri yang segar dan
bersedia untuk keluar daripada kepompong kebiasaan tanpa perlu
menyisihkan jatidiri asal dan nilai-nilai Islam. Tuntasnya,
lihatlah dunia hari ini daripada sudut pandangan burung, bukannya
intaian sempit katak di bawah tempurung.
10. Tasawwur
atau “worldview” yang saya maksudkan ini menuntut keseimbangan antara
tradisi dan pemodenan, antara kemajuan fizikal dan pembangunan sahsiah,
antara teladan sejarah dan potensi pembaharuan. Dalam konteks ini,
seseorang yang menghayati perspektif dan keseimbangan tersebut akan
memahami pentingnya nilai hak asasi dan kebebasan sivil di
samping mengiktiraf kepentingan kestabilan dan keamanan negara. Pada
pengamatan saya, inilah asas yang harus mendukung program transformasi
politik yang kita saksikan hari ini. Sebagai contoh, YAB Presiden telah
memutuskan untuk memansuhkan ISA – satu simbol kuasa berpaksikan
tasawwur lapuk – dengan harapan ia bisa menyuburkan amalan demokrasi
yang lebih matang di samping menggubal undang-undang baru yang menjamin
keselamatan negara.
11. Banyak lagi contoh
serupa yang menandakan berputiknya lembaran baru dalam falsafah
kepimpinan negara. Tidak keterlaluan sekiranya saya katakan bahawa
segala Program Transformasi Kerajaandan Model Baru Politik yang
digariskan oleh YAB Presiden tidak mungkin berlaku tanpa wujudnya
tasawwur atau sarwajagat baru ini. Ini adalah satu peralihan perspektif
yang menuntut kita menjadi lebih berani, matang dan berkeyakinan dalam
menyambut cabaran dunia baru.
12. Dalam soal
politik, jika tasawwur atau “worldview” sebelum ini, prinsipnya mudah:
kuasa adalah betul atau “might is right”. Maksud saya, kuasa adalah
prinsip yang mendasari segala tindakan kita sebelum ini. Apabila
wujudnya masalah, kita tangkap dan humban ke dalam lokap. Bila berdepan
cabaran, kita cantas, berkas dan haramkan. Mungkin kaedah
mentaliti Perang Dingin ini sesuai pada masa dahulu, tetapi dunia
sekarang meruntun pendekatan yang lebih berhikmah dan terbuka. Lantas
sebagai contoh tasawwur ini, Kerajaan akan pinda seksyen 15
AUKU bagi membuka ruang kepada mahasiswa kita untuk turut serta dalam
politik. Pada saya, ini bukan bermain selamat, ini tamsilan kepimpinan
berhemat. Ini bukan tunduk pada tekanan, ini kesungguhan melakar
perubahan.
13. Sama seperti peralihan generasi
dalam arena politik, penterjemahan tasawwur baru dalam lapangan ekonomi
juga harusberasaskan prinsip yang lebih progresif. Mentaliti ekonomi
Melayu sebelum ini banyak berpaksikan kepada bantuan dan perlindungan
Kerajaan semata-mata. Jatuh bangun perniagaan Melayu terlalu bergantung
kepada ihsan Kerajaan. Jika Kerajaan bantu, Melayu maju. Jika Kerajaan
enggan tolong, maka melopong. Itu perspektif lama.
14. Tetapi
zaman sudah berubah. Di samping masih ramai orang Melayu yang
memerlukan bantuan Kerajaan, ramai juga orang Melayu yang sudah bertapak
dalam pelbagai industri dan sektor ekonomi negara. Objektif kita
sekarang bukan semata-mata mahu meningkatkan penglibatan orang Melayu
dalam sektor ekonomi, tetapi untuk membina daya saing supaya Melayu
mampu melonjak lebih tinggi berlandaskan kemampuan dan merit. Yang
miskin kita bantu, yang mampu kita perkasa.
15. Sebagai
generasi pemimpin muda parti dan negara, Pemuda mesti berada di hadapan
setiap kelok perubahan demi mengisi gagasan peralihan generasi. Dalam
konteks ini, ingin saya tegaskan kita haruslah menjiwai makna dan
falsafah gagasan peralihan generasi dan tasawwur ini dalam erti kata
yang sebenar-benarnya. Tiada gunanya jika kita sekadar bersorak dan
bertepuk tangan secara membuta tuli menyambut setiap pengumuman YAB
Perdana Menteri, tanpa memahami dengan jelas rasional dan sebab tindakan
tersebut. Sokongan kita terhadap langkah-langkah progresif seperti
pemansuhan ISA mesti berlunaskan satu kesedaran mendalam tentang
tuntutan tasawwur atau “worldview” baru, bukan kerana membodek ketua.
16. Perkara
ini harus dipandang serius. Kerana kegagalan menjiwai
kepentingan tasawwur baru ini akan menggagalkan transformasi atau
peralihan generasi yang kita wawarkan. Menjadi harapan orang muda di
luar sana untuk kita dalam Pemuda menjadi pelopor dan pencetus kepada
idea dan pemikiran baru dan progresif tanpa menunggu isyarat dari YAB
Presiden. Jika tidak, kita akan muda hanya pada usia, bukan pada idea
atau pemikiran – “young in age, but ancient in mentality”. Percayalah,
ini bukan masanya kita menjadi tukang sorak yang menyokong tanpa ilmu,
yang menentang dengan nafsu.
17. Kita tidak
perlu melangkau jauh bagi melihat contoh terbaik untuk kita
teladani. YAB Presiden kita sendiri, walaupun sudah lama meninggalkan
zaman Pemuda, tetapi dirinya adalah seorang pemimpin yang mesra generasi
muda, yang faham generasi muda dan lebih penting yang menghargai dan
mengiktiraf generasi muda. Beliau mempunyai ratusan ribu pengikut di
Twitter, sentiasa menggunakan ruang media sosial untuk berinteraksi
dengan orang muda, singgah ke konsert, bersukan. Dan lebih penting
daripada itu, pendekatan dan falsafah politik YAB Presiden sendiri
berkisar kepada prinsip-prinsip keterbukaan, kebebasan, keadilan dan
penghakupayaan generasi muda. Pendek kata, Presiden kita adalah contoh
terbaik seorang pemimpin yang menjiwai tasawwur dan peralihan generasi
ini.
18. Dalam konteks perubahan dan tasawwur
baru ini, Pemuda harus bersyukur kerana perjuangan kita, membuahkan
hasil. Hampir semua dari langkah transformasi politik kerajaan - ISA,
AUKU, kebebasan akhbar, kebebasan berhimpun – adalah sesuatu yang telah
kita perjuangkan lebih awal lagi. Pada waktu dan ketika itu, ada yang
pandang sinis – kononnya Pemuda terlalu liberal dan progresif. Tetapi
hari ini terbukti, keberanian Pemuda membawa tasawwur baru yang
mencerminkan kehendak sebenar orang muda akhirnya mendapat pengiktirafan
melalui transformasi YAB Presiden sendiri. Inilah tandanya kita tidak
bertindak membuta tuli. Perjuangan kita selari dengan jiwa orang
muda. Itulah sebabnya Barisan Nasional Pilihan Orang Muda.
Para perwakilan sekalian,
19. Dalam
konteks yang lebih luas, kesedaran terhadap kepentingan menghayati
tasawwur baru ini akan memberi satu makna baru kepada konsep “winnable
candidate” yang diperkenalkan YAB Presiden. Untuk memastikan kemenangan
bagi Barisan Nasional pada pilihanraya yang bakal diadakan, kita
perlu mengangkat calon-calon yang bukan hanya popular dalam parti, tapi
diterima oleh para pengundi. Dalam konteks peralihan generasi yang saya
olah tadi, saya percaya bahawa salah satu faktor yang menjadikan
seseorang calon itu sebagai “winnable candidate” adalah sejauh mana
beliau memahami peralihan generasi yang sedang berlaku.
20. Kajian
Makmal Pemuda mendedahkan sandaran undian anak muda adalah 35 peratus
berdasarkan parti, 34 peratus calon dan 27 peratus pemimpin utama
peringkat nasional. Kajian ini juga mendapati bahawa 62 peratus
daripada mereka adalah kelompok atas pagar yang hanya akan memilih parti
dan calon yang dianggap terbaik. Maka sangkaan dan kepercayaan bahawa
rakyat sentiasa menyokong BNwalau siapapun calon kita, adalah mitos dan
meleset sama sekali. Bukan sekadar pertimbangan yang diambil kira dalam
mengundigenerasi muda amat berbeza, kita juga perlu menerima hakikat
bahawa merekalah faktor penentu kalah menang bagi banyak kerusi di
PRU-13. Maka, atas dasar ini, “winnable candidates” adalah mereka yang
antara lain berupaya memahami dan berkongsi perspektif yang mesra
generasi muda.
21. Selain itu, seseorang
“winnable candidate” perlulah mempunyai kebolehan dan amanah. Dua
perkara ini akan menentukan sama ada seorang calon itu diterima oleh
pengundi atau sebaliknya. Amanahmenuntut anjakan pemikiran dan
kesedaran dalam memupuk budaya jujur, ikhlas dan mesra dalam
perjuangan. Sesungguhnya, selaku pemimpin, kepentingan diri tidak boleh
sekali-kali menjadi keutamaan. Kita sentiasa dinilai oleh rakyat
jelata, dan kepada rakyatlah keringat ini perlu tumpah. Yang lebih
penting, segala perlakuan kita selaku pemimpin yang memikul amanah besar
ini akan diadili oleh Allah SWT nanti. Keinsafan dan kesedaran ini
harus menjadi daya yang memberi makna kepada semua tindakan agar kita
berani memperjuangkan perkara yang benar demi rakyat.
22. Firman Allah SWT sebagaimana petikan daripada ayat 26, Surah Al-Qasas :
إِنَّ خَيۡرَ مَنِ ٱسۡتَـٔۡجَرۡتَ ٱلۡقَوِىُّ ٱلۡأَمِينُ
Yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah”.
23. Syeikhul-Islam Ibn Taimiyyah menulis,
“Hendaklah
dipastikan orang yang terbaik bagi setiap jawatan, kerana sesungguhnya
kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah dan al-Amanah”.“Al-Quwwah” merujuk
kepada kekuatan atau kemampuan seseorang melaksanakan tugas yang
diberi. Sudah pastilah dalam konteks politik dan
pilihanraya, “al-Quwwah” yang dimaksudkan ialah seorang “winnable
candidate” yang cergas, rajin, berwawasan, prihatin, adil kepada semua
tak kira agama atau bangsa dan mempunyai ilmu untuk membantu
menyelesaikan masalah rakyat.
24. Jika
kita mengakui hakikat bahawa PRU-13 merupakan medan survival BN, kita
perlu menerima konsep “winnable candidate” dan bersama-sama menyokong
YAB Presiden melaksanakannya. Padazaman Rasulullah SAW sendiri, semasa
Islam diserang dari pelbagai sudut dan survival agama berada di tahap
paling genting, Baginda telah memilih panglima-panglimanya berdasarkan
kemampuan dan bukannya hubungan mereka dengan Baginda.
25. ‘Amr
bin al-As dihantar untuk menjadi pemerintah wilayah Oman walaupun
beliau baru menganut Islam jika dibandingkan dengan para sahabat yang
lain. Rasulullah SAW telah memilih Khalid ibn al-Walid untuk menjadi
panglima tentera Islam dan memberi gelaran Sayful Allah al-Maslul
atau Pedang Allah Yang Terhunus. Bukan kerana beliau dan Baginda
mempunyai pertalian khusus. Namun dek keupayaan beliau dalam mengurus,
kebijaksanaan mengatur turus serta keberanian menggempur musuh secara
terus.
26. Saya akui, kita tidak mungkin
setanding dengan 'Amr al-As ataupun Khalid ibn Al-Walid. Namun saya
yakin ada di kalangan Pemuda yang sudah bersedia menggalas tanggungjawab
yang lebih besar. Kami dilatih, dididik dan diasuh dalam kilang
UMNO. Kami berharap melalui konsep “winnable candidate”, tiada
lagi calon yang dipilih atas dasar simpati mahu pun calon pakai
kabel. Sebaliknya,“winnable candidate” perlu dipilih atas dasar merit
dan keupayaan sebenar. Kami menunggu dengan penuh kesabaran waktu dan
giliran untuk tampil ke hadapan. Kami sama sekali tidak mendesak untuk
mengganti yang lama, jauh sekali dari mengaku sebagai terbaik dari semua
yang ada. Cuma sekadar ingin menyatakan dengan satu suara dan harapan,
intai dan jenguk-jenguk jualah Pemuda dalam memilih “winnable
candidate” akan datang.
Anak tupai digonggong helang
Terbang tinggi menghala selatan
Jika Pemuda di beri peluang
Tak mungkin kami persia-siakan
27. Pemuda
juga ingin menghantar amaran yang keras. Kami kesal dengan sikap
sesetengah kelompok yang hari ini menyokong konsep“winnable candidate”,
kononnya berikrar akan membantu “winnable candidate” untuk
menang, sebaliknya beria-ia menunjukkan muka di ambang pilihanraya
kerana menganggap diri mereka sebagai “winnable candidate”. Tetapi
apabila harapan tidak kesampaian, sokongan serta sumbangan terhadap
parti dibiar mati bersama angan-angan yang tak menjadi. Ini bukan
bentuk mentaliti yang kita mahu. Kalau masih ada golongan sedemikian
yang bukan sahaja terang-terang menyokong pembangkang tetapi juga
memboikot secara senyap – yang langsung tak buat kerja, yang membawa
diri merajuk sepi, yang menghilangkan diri, yang tak keluar mengundi –
kita minta tindakan tegas terhadapmereka ini sebagai pembelot kepada
parti.
28. Namun akhirnya, kita percaya dan
menaruh keyakinan tinggi kepada kebijaksanaan serta pertimbangan pucuk
pimpinan parti di dalam menentukan pilihan calon yang difikirkan layak
sebagai “winnable candidate” di kalangan ahli parti. Ikrar kami kepada
Presiden, sungguhpun Pemuda menaruh harapan untuk diberi peluang, kami
tahu yang paling penting adalah untuk memenangi pilihanraya. Oleh itu,
walau apa jua pun keputusannya, Pemuda berikrar kepada YAB Presiden,
kami akan setia menyokong mana-mana calon yang dipilih demi maqasid yang
lebih besar yakni kemenangan Barisan Nasional.
Para perwakilan sekalian,
29. Di
bawah kepimpinan hari ini, Pemuda UMNO telah ditransformasi dan diberi
wajah baru, penjenamaan baru, pengisian baru. Jika dulu Pemuda pernah
dianggap kumpulan pendesak, jurubicara masyarakat atau sekadar pelengkap
kepada pimpinan parti. Hari ini Pemuda telah membuka lembaran
baru. Kini, imej dan identiti Pemuda UMNO tidak lagi dilihat atau
dikenali sebagai satu sayap politik yang hanya tahu bermain
retorik. Maka, Pemuda kini berdiri sebagai sebuah pertubuhan yang
kreatif dan proaktif dalam menyelesaikan masalah dan isu generasi muda.
Inilah yang dimaksudkan “politik khidmat bakti” atau “solutions driven
politics” oleh Pemuda UMNO.
30. Dalam Model
Baru Politik, Pemuda tidak seharusnya menjadi entiti yang hanya pandai
bercakap dan menolak segala selok belok pelaksanaan kepada
Kerajaan. Sebaliknya, Pemuda sendiri perlu terlibat secara terus dan
aktif dalam merangka dasar dan menyampaikan penyelesaian berkesan
melalui program-program kita sendiri. Ini kerana, apabila bercakap
tentang politik, hanya ada dua perkara yang akan terngiang-ngiang di
benak pemikiran orang muda hari ini. Pertama “What can you do for us?”
dan keduanya kepercayaan bahawa “Talk is cheap” atau cakap senang la.
Jadi tukang karut sahaja tak guna.
31. Atas
kesedaran ini, bermula dengan lima rukun Pemuda iaitu Bersatu,
Berprinsip, Relevan, Inklusif dan Proaktif sebagai panduan dalam misi
memenangi sokongan generasi muda, kita telah memperkenalkan Makmal
Pemuda atau BN Youth Lab yang menjadi platform untuk generasi muda hari
ini meluahkan kegusaran dan menyuarakan pandangan mereka. Antara isu
yang dibangkitkan ialah perumahan, pendidikan, penjagaan anak-anak dan
ibu bapa, gaji minimum, pinjaman PTPTN, pinjaman perniagaan dan harga
barangan. Kita bersyukur kerana banyak daripada cadangan kita, iaitu
Skim Rumah Pertamaku, Dana Belia 1Malaysia dan Majlis Konsultasi Gaji
Negara, yang bakal melonjakkan kadar gaji pekerja, telah disisipkan
dalam Belanjawan tahun lepas. Tambahan lagi, Program Perumahan
1Malaysia (PR1MA) bagi memenuhi keperluan perumahan generasi muda telah
turut dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada Julai lalu. Kesemua ini
adalah contoh ampuh kepada ideologi politik khidmat bakti yang menjadi
teras kepada era baru Pergerakan Pemuda hari ini.
32. Malah,
atas prinsip politik khidmat bakti yang menjuarai suara orang muda
hinggalah aspirasi menjadi realiti, Pemuda telah menerajui gerakan ke
arah perkembangan kebebasan sivil yang kini menjadi dasar Kerajaan
sepertimana saya sebut tadi - ISA, AUKU, tahanan terhad, kebebasan
akhbar dan kini kebebasan berhimpun.
33. Melalui
program Jelajah 1Malaysia atau JOM kita telah membawa nilai hakiki
kepada tradisi pembelaan rakyat. Lebih 550 buah rumah telah kita baik
pulih dan ribuan keluarga telah mendapat bantuan melalui gerakan Cakna
Pemuda dan Pemuda Prihatin. Karnival Kerjaya Pemuda BN akan menjadi
aktiviti berterusan untuk membantu para graduan dan anak muda mendapat
pekerjaan. Setakat ini karnival kerjaya tersebut telah diadakan tujuh
kali di Kuala Lumpur, Kedah, Melaka, Pahang, Sabah dan Perak. Karnival
kerjaya kita telah menjadi satu jenama sebutan ramai – bila orang muda
bercakap pasal pekerjaan, pasti tak lekang dari bercakap Karnival
Kerjaya Pemuda yang telah menawar puluhan ribu peluang pekerjaan kepada
ratusan ribu anak muda, tak kira parti, tak kira bangsa.
34. Tidak hanya sekadar itu:
a. bagi
membuktikan bahawa khidmat bakti Pemuda tidak hanya tertumpu di kawasan
luar bandar dan mengikis persepsi yang UMNO ini hanya jaguh kampung,
Sekretariat Hal Ehwal Bandar gigih mendekati warga kota dengan pelbagai
program kebajikan;
b. bagi membantu anak muda yang menghadapi kekangan kewangan untuk belajar, kita lancarkan Biasiswa Pendidikan Pemuda;
c. bagi
mencungkil bakat anak-anak muda, kita telah mengadakan Festival Musik
Pemuda sebagai satu platfom mempamerkan kebolehan masing-masing;
d. bagi
membantu mereka yang teraniaya, yang dibawa lari, yang tiada kad
pengenalan, Biro Aduan Komuniti tanpa jemu memastikan kes-kes yang diadu
dapat diselesaikan;
e. bagi menggilap dan menarik
minat bakal pemimpin pelapis, kita juga telah menganjurkan Pertandingan
Pidato Politik yang terbuka kepada semua anak muda pelbagai bangsa;
f. bagi menyemai semangat patriotisme dan membuang sikap mendewa-dewakan komunis, kita anjurkan Pentas Patriot;
g. bagi
membina kelas peniaga dan budaya keusahawanan di kalangan anak muda,
Biro Ekonomi & Pembangunan Usahawan telah tampil dengan pelbagai
program seperti Jelajah Francais dan MyBiz;
h. bagi
membantu orang muda memiliki rumah kita anjurkan juga BN Youth Home
Ownership Expo (HOPE) yang menawarkan rumah-rumah mampu milik di bawah
Skim Rumah Pertamaku serta PR1MA; dan
i. bagi
menangkis serangan pembangkang dan mengukuhkan suara kita di alam siber,
aktiviti Unit Media Baru terus diperkasakan.
35. Alhamdulillah,
impak dan hasil kesemua program ini telah menjana sokongan kepada BN,
di mana kita melihat kembalinya undi muda pada pilihanraya-pilihanraya
kecil, bermula dari Bagan Pinang lagi. Program-program ini juga telah
menyuntik semangat dan kesedaran politik generasi dan telah membantu
kita mendaftarkan hampir 80 ribu pengundi baru pada tahun ini sahaja dan
pada masa sama mengekalkan Pemuda selaku penyumbang terbesar keahlian
baru UMNO.
36. Semua pencapaian ini jelas
membuktikan bahawa program-program Pemuda adalah selari dengan Model
Baru Politik. Malah, YAB Presiden telah mengiktiraf program kita
seperti Karnival Kerjaya sebagai contoh Model Baru Politik. Terbukti,
Pemuda tidak hanya bersorak, tidak melepaskan batuk di tangga, atau
menyokong dengan suara. Tetapi kita aktif, kita kreatif dalam membantu
agenda YAB Presiden. Kita laksanakan program-program yang membawa nilai
tambah, yang menjadi kebanggaan kepada parti dan YAB Presiden. Jadi ini
bukan sekadar mendabik dada atau syok sendiri, kerana nakhoda kita
sendiri dan golongan muda amnya telah mengiktiraf peranan Pemuda dalam
memacu generasi, melakar transformasi.
Para perwakilan sekalian,
37. Lanjutan
kepada seruan politik khidmat bakti yang kita pegang serta selaku ejen
penyelesaian masalah orang muda, saya ingin menggunakan kesempatan ini
untuk menarik perhatian Kerajaan dan pimpinan parti kepada beberapa
perkara.
38. Pertama, jika kita lihat kepada
senario sekarang, kebanyakan anak muda kita begitu terdedah kepada
kecenderungan atau keperluan untuk berhutang sama ada untuk menampung
pelajaran, kad kredit, kereta dan sebagainya, berbanding dengan pinjaman
produktif bagi memulakan perniagaan atau mencipta peluang
baru. Ketidakseimbangan struktur ini terbukti apabila jumlah hutang yang
dikeluarkan oleh sektor kewangan bagi kad kredit dan kereta dari tahun
2010 hingga Julai 2011 mencecah RM249 bilion. Jumlah ini sebenarnya RM7
bilion lebih tinggi berbanding pinjaman yang diberikan kepada
perniagaan kecil dan sederhana dalam tempoh yang sama. Tidak hairanlah
jika angka hutang anak-anak muda kita meningkat saban hari sehinggakan
25 peratus daripada mereka yang muflis dari tahun 2005 hingga tahun ini
adalah mereka yang berumur di bawah 40 tahun.
39. Oleh
itu, sekalipun kita mengakui sumbangan agensi-agensi seperti Tekun,
MARA, PUNB, SME Bank dan lain-lain dalam membantu mengatasi masalah ini,
saya ingin sekali lagi mengusulkan penubuhan bank khas untuk orang
muda, iaitu Bank Belia. Sesungguhnya Pemuda percaya bahawa bank ini
akan mampu menawarkan pinjaman serta program perintis kepada usahawan
muda. Bank ini bukan sahaja berkhidmat dan memenuhi keperluan orang
muda, malah harus dibiar untuk diuruskan oleh orang muda. Bank ini
tidak akan memberi pinjaman mudah atau kemudahan yang menambah beban
seperti hutang kad kredit tetapi menyumbang hanya untuk keperluan
produktif yang menjana pendapatan seperti pinjaman modal pusingan serta
modal memulakan perniagaan bagi usahawan muda. Kita juga anjurkan
supaya skim pembangunan vendor muda diperkenalkan oleh semua GLC dengan
kuota khusus bagi menyemarakkan penyertaan usahawan muda pelbagai bangsa
yang berpotensi dan berkemampuan. Ini untuk membolehkan usahawan muda
membina “track record” dan pengalaman mereka.
40. Yang
kedua adalah penghakupayaan pasangan muda yang bekerja melalui
penubuhan pusat penjagaan kanak-kanak di seluruh negara. Umum
mengetahui, keperluan bagi pusat tersebut adalah ketara bagi golongan
muda, terutamanya bagi pasangan yang kedua-duanya bekerja. Hari ini,
ramai suami yang mengeluh apabila si isteri terpaksa berhenti kerja
semata-mata perlu menjaga anak. Atau tidak mustahil makin ramai suami
yang terpaksa berhenti kerja sebab gaji isteri mereka lebih
tinggi. Apapun mereka hilang satu punca pendapatan disebabkan
tangungjawab menjaga anak. Oleh sebab itu, Pemuda mencadangkan penubuhan
Pusat Jagaan Kanak-kanak 1Malaysia yang bersih dan selamat serta
dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan dibina di seluruh negara.
41. Ketiga,
Pemuda UMNO juga menyambut baik iltizam Kerajaan dalam memperluas
Pendidikan Teknik dan Vokasional. Kami sedar bahawa sebahagian besar
daripada pelajar lelaki muda mempunyai kemahiran amali lebih daripada
kecemerlangan akademik. Kami juga sedar bahawa sistem sedia ada tidak
menyediakan peluang yang cukup bagi mereka. Setakat ini hanya 10
peratus daripada jumlah pelajar kita yang mengikuti pendidikan
vokasional berbanding dengan negara lain seperti Thailand 41 peratus dan
Jerman 59 peratus. Sekiranya kita mahu memastikan aliran ini dapat
mewujudkan pekerja mahir yang tidak ketinggalan apabila ekonomi negara
mengorak langkah ke tahap berpendapatan tinggi, usaha untuk menambah
lebih banyak lagi kolej teknik perlu disegerakan.
42. Kurikulum
aliran teknik dan vokasional juga perlu dikemaskini mengikut keperluan
pasaran. Jangan kita ulangi kelemahan dasar penambahan universiti yang
lebih bercorak kuantiti bukan kualiti. Sekadar menambah lebih banyak
universiti tanpa menyediakan kursus yang relevan kepada pasaran, lantas
melahirkan ramai siswazah yang berijazah tetapi tiada kemahiran yang
diperlukan oleh dunia pekerjaan. Pemuda UMNO harap aliran teknik dan
vokasional ini akan menjadi tempat lahirnya pekerja berilmu pengetahuan
yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa dan mengubah persepsi
sedia ada terhadap aliran berkenaan.
43. Yang
keempat, selari dengan tasawwur baru, agenda ekonomi Bumiputera juga
perlu pendekatan baru. Di samping kita tekankan dasar-dasar yang lebih
mesra pasaran, berteraskan merit dan terbuka, kita juga akui betapa
pentingnya tindakan Kerajaan untuk memastikan pemerkasaan ekonomi
Bumiputera. Oleh itu, Pemuda menyambut baik penubuhan TERAJU dan juga
pengumuman Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputera oleh YAB Perdana
Menteri beberapa hari yang lepas.
44. Pemuda
harap TERAJU akan dapat berpegang teguh kepada pendekatan baru
ini. Kita tidak mahu sejarah berulang di mana segelintir usahawan
Bumiputera yang hanya bersandarkan kabel, dibantu atas nama Dasar
Ekonomi Baru, tetapi akhirnya saham dijual, kepentingan digadai -
sekadar nama atas kertas supaya mendapat status Bumiputera tetapi tidak
lebih dari seorang Ali kepada Baba.
45. Usahawan
Bumiputera muda kini lebih berupaya dan jujur. Mereka tidak akan jual
kepentingan bangsa, mereka sanggup bersaing dengan semua. Saya harap
TERAJU akan melihat kepada kumpulan ini. Jika dulu kita melihat
matlamat DEB cuba dicapai melalui pemindahan kekayaan kepada mereka yang
tiada kemampuan, Pemuda berharap TERAJU akan memastikan yang diberi
peluang adalah anak bangsa yang tidak akan mengkhianati perjuangan dan
mengaut keuntungan cepat untuk diri sendiri.
46. Kelima,
pada awal tahun ini Pemuda telah bangkit mendesak Kerajaan agar tidak
menaikkan harga minyak RON95 tatkala rakyat sedang dihimpit tekanan
kenaikan harga barang. Alhamdulillah, Kerajaan telah mendengar
pandangan kita dan harga RON95 terus kekal. Kita juga menyokong usaha
Kerajaan memperkenalkan Kedai Rakyat 1Malaysia yang bukan sahaja
menawarkan produk yang lebih murah malah menghapuskan kerakusan orang
tengah dalam mengaut untung. Dalam hal ini, saya juga menggesa pihak
Kerajaan bersikap lebih proaktif untuk menggunakan apa sahaja
perundangan dengan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pihak tidak
bertanggungjawab yang ligat menekan rakyat di negara ini. Sememangnya,
kenaikan harga barang berlaku antara lain atas sebab faktor
luaran. Tetapi kita juga tahu wujudnya pihak atau “traders” yang
tamak. Inilah golongan rakus yang perlu kita perangi, golongan parasit
yang mengaut keuntungan luar biasa atas kesusahan orang lain.
47. Sekali
lagi cadangan-cadangan ini menjadi bukti pentas keramat Pemuda sentiasa
menjaga kepentingan orang muda, lantas menjadikan BN Pilihan Orang
Muda. Kita berkhidmat selesaikan masalah bukan seperti pembangkang yang
hanya tahu menghasut anak muda memberontak. Politik kita politik
khidmat bakti, politik pembangkang politik demonstrasi sana sini.
Para perwakilan sekalian,
48. Sekarang
wujud kelompok tertentu yang menggarap nafsu, kedangkalan ilmu serta
perjuangan individu menjadi runut dan lagu politik yang baru. Mereka
tidak ubah seperti agas-agas sumbang yang gemar menangguk di air
keruh. Terkinja-kinja ke hulu dan ke hilir dengan pendekatan semberono
dan populis. Ia sebenarnya tidak lebih daripada gula-gula
politik, ditabur demi mengumpan sokongan merebut kuasa yang sudah lama
mereka dambakan. Golongan sedemikian,adalah satu gerombolan pemancing
terdesak - sanggup meletakkan cacing-cacing simpati agar kail
muslihatnya disentap mereka yang termakan tipu helah betapa setiap
janji-janji manis yang ditabur bukan sahaja memusnahkan diri, malah
menggadai negara.
49. Filem Allahyarham Tan Sri
P. Ramlee berjudul 6 Jahanam telah mengisahkan tentang 6 orang
penjenayah yang membuat onar dalam masyarakat dengan perbuatan merompak,
mencuri, membunuh dan merogol. Hari ini masyarakat kita tidak terlepas
daripada terpaksa berhadapan dengan 6 Jahanam versi moden – polemik
politik pembangkang jijik! Buktinya adalah melalui percubaan
pembangkang yang berangan-angan melaksanakan 6 formula kehancuran negara
yang saya sifatkan sebagai formula 6 Jahanam.
Pertama: Menjahanamkan sistem demokrasi
50. Pembangkang
seringkali menggunakan kebangkitan di Timur Tengah untuk menghasut
rakyat negara ke arah revolusi jalanan. “Arab Spring” di Malaysia, kata
mereka. Di manakah letaknya akal fikiran mereka kalau kita ingin
disamakan dengan negara Tunisia, Mesir dan Libya? Malaysia amat berbeza
dengan negara yang huru-hara di Timur Tengah. Namun, pembangkang
menggunakan perkara ini untuk meniup api kebencian kepada
Kerajaan. Inilah agenda tersembunyi yang ingin mereka capai, tatkala
idea mengadakan Bersih mereka canai. Matlamat mereka bukannya
pemerkasaan sistem pilihanraya yang adil. Sebaliknya, ia adalah wahana
menyebarkan debu-debu sangsi yang akan menimbulkan kekacauan yang maha
kelam kabut dalam sebuah negara berdaulat.
51. Pada
mereka sistem demokrasi itu tidak wujud di bawah pentadbiran BN. Pada
mereka BN adalah pencuri pilihanraya, menidakkan suara rakyat, dan
menggunakan serba macam taktik kotor untuk kekal berkuasa. Jika
benarlah pakatan pembangkang mendukung demokrasi, mengapa sehingga hari
ini mereka tidak pernah melahirkan rasa kesal mengenai insiden September
16? Sedarkah kita, propaganda rampasan kuasa September 16 adalah satu
bentuk penghinaan kepada amalan demokrasi yang wajar dirakam sebagai
satu detik hitam dalam sejarah negara.
52. Tak
cukup dengan itu, baru-baru ini Azmin Ali dengan gah mengumumkan hasrat
PKR untuk memecah tembok penjara bagimembebaskan Anwar Ibrahim sekiranya
didapati bersalah dalam kes liwatnya. Semestinya ini bukan kenyataan
pendukung demokrasi yang sebenar. Undang-undang negara, sistem
kehakiman negara semuanya tidak diendahkan. Sudah terang lagi bersuluh,
keluar dari mulut mereka sendiri, agenda mereka hanya satu, iaitu
memastikan Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia dengan apa jua cara -
halal atau haram. Dan konsep demokrasi ini hanya menjadi alat bermusim
ke arah sasaran sempit mereka.
53. Tidak syak lagi, demokrasi negara menjadi mangsa pertama di bawah kerakusan pakatan jahanam.
Burung bayan terbangnya tinggi
Hinggap seekor di pohon pisang
Mengaku konon pejuang demokrasi
Rupanya penghasut jalan songsang
Kedua: Menjahanamkan sistem pentadbiran
54. BN adalah
satu parti yang telah terbukti keupayaannya dalam mentadbir
negara. Semangat setiakawan antara parti komponen dapat dilihat dengan
jelas dalam pemilihan Jemaah Kabinet oleh Perdana Menteri. Bagaimana
pula dengan pembangkang? Sehingga kini, mereka masih gagal memberikan
kita Kabinet Bayangan. Yang mereka ada, 3 penyelia untuk satu portfolio
– tiga kepala, satu badan. Bayangkan kalau mereka perlu menubuh kabinet
di masa hadapan – siapa Perdana Menterinya? Anwar, Guan Eng
atau Haji Hadi?
55. Mutakhir ini, mereka
dengan angkuhnya mahu mengurangkan bilangan kakitangan
kerajaan. Pembangkang tabur statistik bahawa nisbah penjawat awam
dengan penduduk di Malaysia adalah tinggi dan membebankan. Tetapi
mereka sengaja menyembunyikan hakikat bahawa negara-negara lain tidak
mengambil kira golongan anggota keselamatan dan warga pendidik sebagai
kakitangan awam. Sedangkan di Malaysia, dua golongan ini merangkumi
lebih 50 peratus daripada semua penjawat awam. Maka, sudah pastilah
nisbah kita lebih tinggi daripada negara-negara lain.
56. Bagi
Pemuda, tiada langsung sebab untuk kurangkan saiz kakitangan
awam. Negara tidak mungkin mengecapi kemakmuran sebegini tanpa sokongan
dan usaha gigih sektor awam. Tapi jelas, ini bukan pertimbangan bagi
pihak pembangkang. Sesungguhnya, bagi penjawat awam yang bakal mengundi
kelak, undi untuk pembangkangadalah sama seperti menabur pasir ke
periuk nasi sendiri.
57. Bayangkan pula apa
akan jadi kepada pentadbiran undang-undang? PAS mahu laksanakan hudud,
tetapi DAP pula minta langkah mayat mereka dulu. Jika Pakatan mengambil
alih Kerajaan Persekutuan, apakah akan ada undang-undang berbeza di
negeri berbeza? Apakah definisi jenayah sendiri akan berubah mengikut
geografi? Kalau mencuri di Kelantan, potong tangan. Kalau di KL,
sumbat penjara. Kalau di Pulau Pinang, itu kita tengok dulu apa kata
Khalifah Lim Guan Eng.
58. Inilah realiti yang
akan berlaku sekiranya kita benarkan pakatan pembangkang yang tandus
persefahaman mengambil alih kepimpinan negara. Sistem pentadbiran
kucar-kacir tanpa arah, porak peranda - menjadi mangsa kedua kerakusan
pakatan jahanam!
Ketiga: Mejahanamkan maruah negara
59. Semua
menjadi saksi, UMNO dan BN tidak pernah tergamak memburuk-burukkan
kepimpinan negara kita kepada orang luar. Namun, tidak sampai sepenggal
menjadi Ketua Menteri, Lim Guan Eng terkocoh-kocoh ke Singapura
menjaja fitnah terhadap negeri Johor semata-mata mahu menggambarkan satu
situasi yang menyebelahi partinya. Beliau tahu Johor adalah bakal
penerima pelaburan terbesar dari Singapura. Disebabkan dengki, beliau
menakut-nakutkan pelabur dari Singapura tanpa mempedulikan kesan
pelaburan negara yang boleh merudum disebabkan tindakan biadapnya,
seolah-olah Pulau Pinang itu bukan sebahagian dari
Malaysia. Persetankan kepentingan ekonomi dan kesejahteraan rakyat
Malaysia. Apa yang penting hanyalah DAP dan Republiknya di Pulau
Pinang! Pantang ada peluang. Maruah negara beliau telanjangkan.
60. Kerakusan
pembangkang amat berbeza dengan sikap dan budaya kita yang bangga
menjadi anak Malaysia. Kita bangga dengan asal usul negara kita, bangga
dengan pencapaian kita, bangga dengan lambang negara kita. Maka kita
marah apabila pembangkang dengan sesuka hati memperlekehkan Jalur
Gemilang. DAP dengan angkuhnyaberkata mereka lebih sanggup edar bendera
roket berbanding bendera kebangsaan. Ini biadap! Kita marah dengan
janji pembangkang untuk mengubah terus Jalur Gemilang sekiranya mereka
memerintah. Inilah polemik politik jijik dan budaya kebencian yang
dibawa oleh pihak pembangkang. Bukan setakat simbol negara,
institusi-institusi penting seperti polis, tentera semuanya habis
dihentam dan dipandang hina. Tak pernah langsung kita dengar mereka
mengiktiraf jauh sekali memperjuangkan kepentingan anggota
keselamatan negara. Bayangkan kalau mereka mengambil alih, apa nasib
negara kita? Jadi bahan cemuhan di persada antarabangsa.
61. Maka,
sekiranya kita biarkan mereka memerintah, satu sahaja hasilnya terhadap
maruah dan imej negara. Mangsa ketiga pakatan jahanam!
Malangnya sungguh nasib Pak Kaduk
Ayamnya menang kampung tergadai
Pembangkang sungguh berhati busuk
Burukkan negara berderai-derai
Keempat: Menjahanamkan sejarah negara
62. Sesungguhnya
sejarah adalah pasak jatidiri sesuatu negara. Warisan dari generasi ke
generasi. Melalui sejarah, kita kenal identiti kita sebagai seorang
Melayu Islam dan seorang warganegara Malaysia. Melalui sejarah, kita
mula memahami tanggungjawab, amanah dan peranan kita dalam memastikan
kelangsungan agama, bangsa dan negara. Tanpa sejarah, semua laungan
juang tidak bermakna. Tanpa sejarah kesemua percaturan politik tidak
punya hala tuju. Peliknya, hari ini ada yang memutar belitkan sejarah –
menyanjung golongan yang mengetuai serangan Bukit Kepong – golongan
yang membunuh isteri dan anak semuda dua tahun. Semua dipuja sebagai
pejuang kemerdekaan. Pegawai polis yang terkorban pula dilabel sebagai
tali barut British.
63. Apabila musuh durjana
negara diangkat sebagai wira, apabila perjuangan pembela pertiwi dihina,
maka inilah tamsilan ampuh talam dua muka; pakar pura-pura. Inilah
yang dikatakan gunting dalam lipatan; api dalam sekam; musuh dalam
selimut. Inilah realiti sekiranya penjunjung komunis dibiar mentadbir
negara. Lesap habis segala fakta sejarah. Kesemuanya bakal diganti
mitos pro Komunis yang menyanjungi pengganas, para pembunuh anggota
polis. Sejarah negaradan asal usul bangsa menjadi mangsa keempat
pakatan jahanam.
Kelima: Menjahanamkan jati diri bangsa
64. UMNO
adalah parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Malangnya
ini bukan fokus Pakatan Rakyat. Yang mereka tahu, gadaikan kepentingan
bangsa, cabar kesucian agama, asalkan kepentingan politik mereka
terjaga. Kita perhatikan PAS. Setiap kali cuba menyentuh isu agama,
mereka akan dilibas pantas oleh DAP. PAS hanya mampu membisu. Takut
berputus kasih dengan DAP yang memilih bulu! Bila DAP mengamuk, PAS
menyorok. Bila DAP kata Himpunan Sejuta Umat agenda haram, PAS
diam. PAS tutup cerita pasal larangan berhibur di bulan puasa di
Kedah. PAS tutup cerita pasal isu murtad yang berleluasa. Semua
berpunca daripada ketiadaan satu ideologi yang sehaluan - yang
digadaikan adalah nasib bangsa dan agama.
65. Lebih
malang, demi kuasa, pembangkang ligat menanam benih prejudis yang
menghalang orang Melayu untuk bercakap dan memperjuangkan
kepentingan bangsa secara terbuka. Jatidiri Melayu mereka
hakis. Kecintaan kepada bangsa mereka kikis. Sehingga mewujudkan
persekitaran yang menyebabkan segelintir berasa janggal untuk
menzahirkan semangat dan jatidiri mereka sebagai anak Melayu. PAS dan
PKR masih sanggup bersekongkol dan hanya mendiamkan diri melihat orang
Melayu di Pulau Pinang diasak dan dipijak-pijak oleh DAP. Hari ini,
menjadi orang Melayu di Pulau Pinang, tak ubah seperti merempat di bumi
sendiri. Bukan sekadar jatidiri Melayu hancur, warna kulit kita pun dah
dipersenda. Mana mungkin DAP bukan parti rasis setelah menghina warna
kulit YAB Menteri Besar Perak. Mana mungkin saya tak terasa, warna
kulit saya pun serupa. Malah, selama ribuan tahun di seluruh dunia,
warna kulit telah menjadi simbol penindasan, dan dengan
sewenang-wenangnya mereka lontarkan kenyataan rasis sebegitu.
66. Barangkali
PKR sudah mula sedar bahawa sokongan Melayu terhadap mereka semakin
pudar. Orang Melayu sudah sedar bahawa PKR tidak mampu memperjuangkan
nasib dan masa depan bangsa kita. Lantas semasa Kongres PKR yang
berlangsung baru-baru ini, mereka tampak begitu kemaruk kuasa dan
terdesak sehingga menuntut kita meminda perlembagaan
persekutuan agar menjamin hanya orang Melayu yang boleh menjadi Perdana
Menteri.
67. Mereka merayu kepada UMNO meminda
perlembagaan tidak lain tidak bukan kerana PKR khuatir sekiranya Pakatan
pembangkang menang kelak, yang menjadi Perdana Menteri bukannya dari
parti PKR mahupun PAS. Mereka gusar dengan kuasa DAP yang tampil lebih
mendominasi, lebih berkuasa dalam pakatan pembangkang dan terpaksa
menggunakan UMNO sebagai jalan belakang, jalan penyelamat.
68. Tindakan
ini menampakkan rasa saling curiga sesama pembangkang sehingga
membuatkan PKR terpaksa meminta UMNO untuk membuat sesuatu yang boleh
selamatkan mereka. Barisan Nasional tidak perlu kepada pindaan
perlembagaan ini kerana kita menaruh penuh keyakinan pada
sistem muhibbah sedia ada serta semangat muafakat di kalangan ahli
komponen BN. Kita percaya UMNO mampu menawarkan kepimpinan kepada
seluruh rakyat Malaysia. Kita yakin tanpa peruntukan dalam perlembagaan
pun, rakyat Malaysia keseluruhannya tetap menyokong kepimpinan Melayu
yang adil kepada semua. Ini jatidiri kita dalam UMNO yang bangga dengan
kemampuan bangsa sendiri untuk terus memimpin negara. Tapi tanpa
jatidiri utuh, PKR berpeluh. Terhegeh-hegeh minta UMNO pula pinda
perlembagaan kerana tidak mampu mengatasi kuasa DAP merampas takhta
Kerajaan sekiranya nauzubillah mereka menang.
69. Ketaatan
PAS dan PKR terhadap kerakusan DAP ini nyata tidak bertepi. Inilah
masalahnya, apabila jatidiri bangsa runtuh dan musnah. Maka, agama dan
bangsa akan menjadi mangsa kelima pakatan jahanam.
Keenam: Menjahanamkan kemakmuran ekonomi negara
70. Dalam
mengupas kesejahteraan ekonomi, pembangkang mengapung-apungkan kononnya
mereka sebuah kerajaan yang bersedia memberikan segala-galanya secara
percuma kepada rakyat. Saya teringat akan satu pesan bidalan lama -
yang manis jangan segera ditelan, yang pahit jangan segera dibuang. Inilah formula Pakatan pembangkang. Janji manis, pendekatan populis, negara muflis.
71. Kajian
kita mendapati bahawa sekiranya janji-janji manis dalam Buku Jingga
dilaksanakan, Malaysia akan bankrap seperti Greece dalam tempoh hanya 2
tahun. Mana tidaknya, untuk mengotakan sebahagian janji manis kebajikan
mereka, hutang Kerajaan akan mencecah RM617 bilion pada tahun kedua
sahaja. Maka kita akan mempunyai tidak lebih daripada setahun untuk
bersorak-sorai meraikan kenikmatan sementara kehidupan percuma, sebelum
terpaksa meratib penuh sesal kemusnahan ekonomi negara untuk beberapa
generasi selepas itu. Biarpun terdapat analisis yang menunjukkan
kelemahan pendekatan sebegini, pembangkang tidak peduli. Yang penting,
mereka mampu memancing undi. Jika mengikut
pembangkang, negaraakhirnya terpaksa melukut di tepi gantang - menagih
bantuan daripada agensi seperti IMF. Kita tahu sejarah Anwar yang rapat
dengan IMF dan beliau rela menjadi pak sanggup mengheret negara kepada
tuntutan luar demi kuasa. Inilah masalahnya orang yang suka
melalak. Berteriak pandai, berfikir tidak. Kuman seberang laut mereka
nampak. Gajah depan mata mereka sepak. Pendek kata, kemakmuran ekonomi
negara akan menjadi mangsa keenam, pakatan jahanam.
Awan datang lindungi bulan
Malam pekat sunyi rasa
Politik pembangkang sarat kebencian
Hasut rakyat demi kuasa
Dentam-dentum atas permatang
Orang mengemping padi muda
Melayu terpinggir di Pulau Pinang
Air Kelantan tak bersih jua
Tunggul kecil di tengah huma
Buat tanda antara sempadan
Biar apapun pembangkang cuba
Putrajaya tetap Pemuda pertahankan
Para perwakilan sekalian,
72. Jangan
sekali-kali kita lalai, leka dan alpa. Jangan kita dibuai kegemilangan
silam. Cabaran yang bakal kita hadapi pada PRU-13 ini merupakan yang
paling sengit dalam sejarah pilihanraya. Inilah masa dan
ketikanya Pemuda UMNO bangun untuk melakar kesinambungan perjuangan yang
murni ini.
73. Pemuda yang ada pada hari ini,
seperti mereka yang terdahulu, tidak mungkin lari dari medan
perang. Kita tahu betapa pentingnya perjuangan ini demi masa hadapan
anak bangsa. Saya yakin dan percaya setiap ahli Pemuda yang ada pada
hari ini takkan gentar untuk menghadapi armada perang musuh dan berjuang
bersama-sama pucuk pimpinan. Hati gajah sama dilapah, hati kuman
sama dicecah. Biar patah dahan berpaut, biar retak lantai berpijak,
musuh datang pemuda tak takut, apa dugaan takkan berganjak.
74. Akhirul
kalam, saya akhiri ucapan ini dengan satu sajak yang didedikasikan
kepada kita semua semoga menjadi azimat untuk kita bersedia menghadapi
cabaran yang paling getir dalam sejarah parti keramat kita.
Apabila engkau terasa hembusan angin fajar diiringi embunnya,
Pernahkah engkau berhenti bertanya,
Rahsia silam bumi yang engkau pijak,
Lipatan sejarah langit yang engkau junjung?
Apabila engkau menegakkan panji-panji perang-mu,
Pernahkah engkau berhenti bertanya,
Siapakah gerangan pejuang tidak bernama,
Yang dulu menggadai jiwa dan raga demi anak bangsa?
Apabila air mata berlinangan ketika engkau memohon restu bonda,
Pernahkah engkau berhenti bertanya,
Apakah sebab mereka berjuang, tanpa mengira badai yang datang,
Apa cerita di sebalik cerita memungkinkan mereka mengorbankan semua?
Apabila anak-anak mu melambaikan tangan dan sayu engkau membalasnya,
Pernahkah engkau berhenti bertanya,
Bagaimana aku insan biasa dapat menebus segala jasa
Bagaimana aku manusia kerdil dapat meneruskan perjuangan mereka?
Apabila semboyan sudah berbunyi diiringi paluan gendang perang ini,
Apabila musuh bertentang mata, denyutan nadi semakin kencang,
Engkau tidak lagi perlu bertanya,
Kerana hari ini, ketika bahtera perang mereka semakin menghampiri,
Sudah tentu hari ini, di bawah kibaran panji-panji parti keramat kita ini,
Kita akan sama-sama teguh berdiri!
Ayuh Pemuda, Mari kita sama-sama berdiri!
Berdiri bukan mencari nama, Berdiri bukan mencari harta,
Berdiri kerana aku tidak mungkin lupa sejarah ku,
Berdiri kerana aku pewaris perjuanganmu,
Berdiri kerana aku siap siaga, terus sahaja bertarung nyawa
Ayuh Pemuda, Mari kita sama-sama berdiri!
Berdiri kerana aku Pemuda yang tidak gentar semua,
Berdiri kerana aku Pemuda penerus perjuangan bangsa!
Berdiri kerana engkau berdiri bersama, teguh kita pasti bersama, kekal utuh ke akhir masa.