Makmal proses syabu RM5.5j diserbu
KUALA LUMPUR 6 Jan. – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa selepas menyerbu sebuah makmal memproses syabu di sebuah kondominium di Solaris, Dutamas, di sini kelmarin.
Kejayaan itu dicapai hasil penangkapan seorang lelaki warga Iran berusia 22 tahun oleh dua anggota polis bantuan yang sedang menjalankan tugas rondaan kira-kira pukul 5.30 petang di bangunan Solaris.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, curiga dengan gerak-geri suspek, anggota polis terbabit menahan lelaki tersebut untuk pemeriksaan sebelum menemui 12 plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu.
Katanya, selepas penemuan itu, suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menyerbu sebuah kondominium di Solaris Dutamas.
“Hasil pemeriksaan, kami menemui serbuk dan ketulan kristal seberat 723.75 gram yang diletakkan atas dua helai kertas dipercayai untuk dikeringkan.
“Polis turut menemui dua bekas periuk nasi mengandungi bahan mentah dipercayai dadah jenis syabu seberat 9.4 kilogram yang dibekukan dalam peti sejuk. Kesemua dadah itu dianggarkan bernilai RM5.5 juta,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Mohmad, pihaknya turut merampas 10 botol plastik dua liter mengandungi cecair sebatian organik yang digunakan sebagai pelarut (aseton) untuk membersihkan dadah terbabit.
“Kita percaya suspek menggunakan unit kondominium itu sebagai makmal memproses dadah jenis syabu sejak beberapa bulan lalu,” katanya.
Beliau berkata, suspek yang positif ujian saringan air kencing kini ditahan reman tujuh sehingga 11 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, polis sedang menjalankan siasatan dari mana dadah tersebut diperoleh dan sedang memburu beberapa lagi rakan suspek.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan