Sabtu, 26 November 2011

PEMBACA SINAR HARIAN

Sinar Harian

21 November 2011
Sinar HarianMinggu lepas saya dijemput berwawancara dengan akhbar Sinar Harian. Sinar Harian adalah sebuah akhbar bahasa Melayu yang dalam masa yang singkat telah mencapai pembaca yang jauh melebihi akhbar-akhbar Melayu milik UMNO, iaitu Utusan Malaysia dan Berita Harian.
Jika saya seorang ahli fikir parti UMNO, sudah pasti saya tidak dapat tidur sepanjang malam kerana kehilangan pembaca akhbar UMNO yang begitu mendadak. Ertinya, ramai orang Melayu sudah tidak lagi percaya akan ideologi parti tersebut.
Kejayaan Sinar Harian kini menyerlah mungkin kerana ia sanggup memberi ruang kepada pendapat dan pandangan yang berbeza daripada apa yang selalu disiarkan oleh akhbar arus perdana. Sinar Harian memberi ruang kepada cerita rakyat, bukan cerita Menteri.
Pada zaman moden ini sudah jelas bahawa berita Internet telah mendapat perhatian orang ramai. Walaupun begitu, akhbar cetak masih menjadi sumber utama di mana rakyat mendapat berita dan memberi pandangan. Saya harap, Sinar Harian dalam usahanya mengejar kejayaan melalui jualan yang lebih, tidak akan lupa bahawa akhbar cetak boleh mencorakkan sebuah pemikiran rakyat yang lebih dinamis dan progresif. Oleh itu, Sinar Harian mesti kekal sebagai sebuah akhbar yang membuka minda rakyat Melayu dan membantu kaum Melayu memahami isu-isu sebenar .
Membuka minda ertinya memberi tafsiran dan pandangan yang bercanggah atau berbeza. Pandangan bercanggah amat penting bagi menggalakkan perbincangan dan analisa yang lebih tepat dan mendalam. Dengan pemahaman luas kaum Melayu mampu membuat keputusan terbaik untuk mereka sendiri dan masyarakat sekeliling. Hanya dengan cara ini akan bangsa Melayu maju.
Sinar Harian wajar menjadi pembentuk pemahaman dan pandangan yang berkesan. Kaum Melayu mempunyai segelintir sahaja saluran untuk mendapat berita dan pembentangan analisa yang bernas dan objektif  mengenai isu-isu semasa dan isu negara. Ini kerana kebanyakan akhbar dan majalah dimiliki oleh parti-parti politik. Justeru itu, hanya pendekatan politik pemilik sahaja yang diketengahkan.
Akhbar sebegini tidak akan memberi pandangan yang neutral atau objektif jika pandangan tersebut dianggap membawa kerugian kepada politik pemilik. Setahu saya, Sinar Harian bukan sebuah akhbar yang dimiliki parti politik. Kalau begitu, amat sesuai jika Sinar menjadi akhbar yang membawa aspirasi orang ramai ke meja perbincangan antara rakyat dan pemimpin.
Memang ada surat khabar dan tabloid Melayu kecil-kecilan yang cuba meniru kejayaan Sinar Harian. Tetapi, mereka tidak mempunyai penulis atau wartawan yang mahir dan cemerlang. Malah, terdapat sebuah surat khabar yang memberi tumpuan kepada pemimpin politik hanya untuk mendedahkan skandal.
Bulan lepas, saya sendiri mendapat liputan halaman penuh yang mengandungi segala fitnah yang memburukkan nama saya. Saya digambarkan sebagai seorang yang sombong, yang menganggap wang sebagai pintu kejayaan. Penulis cerita itu menggambarkan saya sebagai ahli politik murahan yang tanpa prinsip, tanpa perjuangan.
Kalau pengisian sebuah akhbar memburukkan nama seseorang tanpa bukti dan asas yang kukuh, akhbar itu tidak akan berjaya. Kita tidak perlu menggunakan akal untuk memfitnah orang lain. Kita hanya perlu niat yang jahat dan hati yang busuk. Ini bukan cara membawa kejayaan kepada akhbar Melayu.
Saya telah pun meminta peguam saya menyaman akhbar dan penulis tersebut. Kutu-kutu ini tidak harus dibiarkan terus mencari makan melalui fitnah. Mereka mesti diingatkan bahawa Malaysia masih ada mahkamah dan undang-undang di mana seorang yang difitnah boleh mendapat keadilan.
KITA encourages thoughtful, responsible discourse. Please comment judiciously, and refrain from maligni

Tiada ulasan:

Catat Ulasan