Isnin, 6 Februari 2012

APAKAH MAKNA KEPUTUSAN YANG BERUBAH UBAH:: APA PULA RANCANGAN DI BALIK TABIR.

Zaid nafi tarik bubar Kita, pembubaran tetap diteruskan

February 05, 2012
KUALA LUMPUR, 5 Feb — Datuk Zaid Ibrahim menafikan laporan bahawa beliau menarik semula keputusan membubarkan Parti Keadilan Insan Tanah Air (Kita).
Zaid, presiden Kita, memberitahu The Malaysian Insider satu mesyuarat luar biasa (EGM) akan tetap diadakan seperti yang dirancang.
“Saya tidak tahu dari mana anda mendapat cerita ini (tarik semula). Seperti yang saya katakan di dalam blog, ia (pembubaran) akan dibentangkan semasa EGM,” katanya ketika dihubungi malam ini.
“Tiada apa yang berubah. Jika ada apa-apa, saya akan beritahu anda. Okay?” tambahnya.
The Malaysian Insider memetik Sinar Harian Online yang mengatakan Zaid (gambar) memutuskan untuk menarik semula keputusan membubarkan Kita.
Menurut artikel berbahasa Malaysia itu, Zaid telah memaklumkan perkara itu kepada beberapa pengerusi negeri melalui pegawai kanannya.
“Saya menerima panggilan sekitar jam 8 pagi tadi, pegawai penyelaras parti ada menghubungi saya untuk memaklumkan pendirian terbaru Datuk Zaid iaitu tidak mahu membubarkan parti Kita, EGM tidak akan diadakan,” kata Pengerusi Kita Johor Dr Mohd Zaid Mohd Yusof.
Dr Mohd Zaid menambah jika benar perkembangan tersebut, pihaknya menyambut baik keputusan itu memandangkan memang tiada alasan atau sebab parti itu harus dibubarkan.
Kenyataan Zaid ini menunjukkan laporan Sinar Harian Online tidak tepat.
Dalam satu pengumuman mengejutkan di laman web Kita, Khamis lalu, Zaid (gambar) berkata EGM akan diadakan untuk membubarkan Kita berikutan laporan-laporan ahli-ahli di Kedah dan Pulau Pinang secara terbuka menyerang Pakatan Rakyat, “menunjukkan mereka tidak berminat terhadap isu-isu sebenar dan hanya mahu memalukan kepimpinan pembangkang.”
“Saya sedar menubuhkan Kita adalah satu kesilapan,” kata bekas menteri Umno ini. “Saya berharap dapat membawa idea-idea alternatif dalam politik dan membawa kepelbagaian imej untuk pembangkang.”
Selepas pengumuman itu, beberapa pengerusi Kita negeri secara terbuka menolak pembubaran itu sebaliknya mendesak Zaid meletakkan jawatan.
Zaid, bekas ahli Parlimen Umno menyertai PKR pada Jun 2009. Beliau meninggalkan Umno selepas mempertikaikan penahanan wakil rakyat DAP Teresa Kok, blogger Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Tan Hoon Cheng di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2008.
Zaid kemudian bertanding untuk jawatan timbalan presiden PKR menentang Azmin Ali dan Mustapha Kamil Ayub sebelum meninggalkan parti itu tahun lepas. Beliau juga merupakan calon PKR dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor namun tewas kepada P. Kamalanathan dari MIC.
Zaid meninggalkan PKR kerana tidak berpuas hati dengan proses pilihan raya parti itu mendakwa berlaku penyelewengan sebelum menubuhkan Kita.
Namun parti berusia dua tahun ini berdepan dengan masalah dalaman termasuk penentangan ahli terhadap Zaid.
Selain itu, Zaid juga mengumumkan Kita tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 namun menawarkan sokongan kepada pembangkang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan