Sabtu, 4 Februari 2012

MENCARI JALAN KELUAR, MENCARI JALAN MASUK.

Zaid 'kuasa ketiga' baru pro-Pakatan?
ULASAN Spekulasi berhubung parti pilihan Datuk Zaid Ibrahim selepas mengumumkan hasratnya untuk membubarkan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) terus diperkatakan. Namun, jika diambilkira perkembangan terkini, ia mungkin tidak menjadi satu kenyataan.

Setelah beberapa siri perbincangan dengan pemimpin Pakatan Rakyat, bekas menteri Umno zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi itu dikatakan diberikan tugas lain menggunakan formula yang hampir sama dengan yang didakwa dilakukan BN melalui “kuasa ketiga”.

zaid ibrahim quits pkr 191110 02Menurut sumber, Zaid akan terus bergerak secara bebas tetapi bersikap 'mesra Pakatan' dan berperanan menjawab kritikan agresif kumpulan seperti NGO seperti JATI yang ditubuhkan Dr Hasan Ali, kumpulan pendesak Melayu PERKASA dan beberapa anggota parlimen bebas  'mesra BN'.

Peranan Zaid itu, jika menjadi kenyataan, akan menguatkan kuasa ketiga yang dilihat memberi manfaat kepada Pakatan, seiring dengan gerakan Asalkan Bukan Umno-BN (ABU) dan Gerakan Kebebasan Awam Malaysia (MCLM) yang disertai penulis blog 'dalam buangan' Raja Petra Kamaruddin.

Ia juga sekaligus mengukuhkan sektor-sektor lain, seperti kumpulan NGO, mahasiswa dan peguam, yang walaupun tidak mendokong Pakatan secara langsung tetapi memperjuangkan isu hampir sama, seperti pemansuhan akta anti hak asasi manusia, termasuk ISA, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Bagi pemerhati politik, pertembungan kuasa-kuasa ketiga daripada kedua-dua pihak BN dan Pakatan amat menarik diperhatikan dalam pilihan raya umum ke-13 yang dijangka tidak lama lagi.

Besarnya pertembungan itu sehingga menjalar sampai kepada penubuhan beberapa NGO kecil tetapi konsisten,  seperti Jaringan Melayu Muda (JMM), Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) di pihak BN dan JINGGA 13 di sebelah lagi.

Bagaimanapun, Zaid juga dilihat menghadapi dilema dengan keengganan beberapa pemimpin KITA yang menolak hasratnya membubarkan parti yang kini berusia setahun.
Malah, terdapat usaha daripada dalam untuk menentang hasrat Zaid mengadakan mesyuarat agung khas pembubarannya, terutamanya dari Kedah.

Pada 2 Februari lalu, KITA negeri itu secara terbuka mengumumkan hasratnya untuk bekerjasama dengan kuasa ketiga yang diterajui  Hasan yang dipecat PAS baru-baru ini – hasrat yang sama sekali bertentangan dengan usaha Zaid.

Sementara itu, sumber-sumber juga memberitahu, hasrat Zaid membubarkan KITA tidak lama lagi dan berikrar bersama pembangkang dalam pilihan raya umum ke-13 dikatakan langkah awal memulakan tugas barunya itu.

“Lagi pun, KITA tidak akan sampai ke mana-mana,” kata sumber yang dekat dengan PKR kepada Malaysiakini.

Sementara itu, sumber yang dekat dengan DAP pula memberitahu, paling awal Zaid kembali secara rasmi dalam Pakatan selepas pilihan raya umum nanti, kemungkinan besarnya ke DAP.

Walaupun ada cakap-cakap bahawa ada suara kecil yang mahukan beliau kembali kepada PKR, tetapi penolakan dalaman – akibat serangan berterusannya kepada parti itu bermula dari isu pemilihan langsungBsebelum ini – menjadi halangan besar.

DAP pula walaupun sebelum ini dikatakan kuat menentang penyertaan Zaid dalam PKR pada Jun 2009, kini dikatakan lebih bersikap lunak ekoran dasar barunya yang  mahu menarik seramai mungkin pemimpin Melayu.

Bagaimanapun, DAP – yang menghadapi masalah persepsi 'parti Cina' – juga perlu mempertimbangkan keselesaan rakan gabungannya, terutama PKR yang dilihat masih ragu-ragu terhadap usaha Zaid mendekati Pakatan.

“Melihat apa yang sudah dilakukan Zaid, sukarlah untuk parti menerimanya kembali,” kata sumber PKR sambil memberitahu isu itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat biro politik mereka beberapa minggu lalu.

Bagaimanapun, walau apa pun spekulasinya, karier politik Zaid yang dilihat berubah-rubah amat sukar diramal, sejak beliau meletakkan jawatan secara mengejut daripada Umno dan sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri pada Septermber 2008.

Melalui KITA pula, beliau sebelum ini pernah memohon maaf kepada perdana menteri kerana tidak pernah yakin pada keupayaannnya memansuhkan ISA tetapi tidak lama selepas itu kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula.

Kesemua ini dipertimbangkan dengan teliti oleh Pakatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan