Selasa, 7 Februari 2012

IMPAKNYA (2)

Zamil anggap pimpinan pusat Kita tak wujud
Wartawan Sinar Harian
7 Februari 2012
zamil ibrahim
SHAH ALAM - "Saya anggap (kepimpinan) pusat sudah tidak wujud." Demikian tegas Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) negeri Kedah, Zamil Ibrahim ketika diminta mengulas mengenai keputusan beliau dipecat dari parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Zamil bersama Pengerusi Kita Pulau Pinang, Tan Tee Beng dipecat oleh Jawatankuasa Disiplin. Tindakan itu diputuskan malam tadi.
Sambil menegaskan beliau tidak terperanjat dengan tindakan itu, Zamil berkata, beliau menganggap ia sebagai satu keputusan tidak bijak.
"Ia satu keputusan tidak bijak daripada pusat," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.
"Saya juga sudah hilang rasa hormat ke atas pucuk kepimpinan," kata Zamil sambil mempersoalkan motif tindakan terbaru ini.
Sehubungan itu, beliau bertanya sama ada pemecatan bertujuan menutup mulut pihak-pihak yang mengkritik tindakan pucuk kepimpinan yang bercadang mahu membubarkan Kita menerusi satu mesyuarat agung luar biasa (EGM), yang akan diadakan dalam waktu terdekat.
"Adakah salah jika saya mempersoalkan cadangan mahu membubarkan parti Kita. Kalau begitu, Presiden parti (Datuk Zaid Ibrahim) juga kena dipecat," katanya sambil menambah, beliau belum menerima sebarang notis mengenai pemecatannya.
Terdahulu, Sinar Harian Online membawa laporan Pengerusi Kita Kedah dan Pulau Pinang dipecat berkuat kuasa atas kesalahan melanggar peraturan parti.
Setiausaha Pusat Kita, Masrum Dayat berkata, Zamil dan Tee Beng, masing-masing ketua Kita Kedah dan Pulau Pinang telah diputuskan pemecatan mereka dalam mesyuarat Jawatankuasa Disiplin, malam tadi.
"Jawatankuasa Disiplin mendapati mereka telah melanggar peraturan-peraturan parti dengan membuat kenyataan secara berterusan mengecam parti dan kepimpinan parti," kata Masrum.
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Wan Hasemah @ Wan Norjam Wan Sulaiman pula berkata, "Jawatankuasa Disiplin Kita dalam mesyuaratnya pada 6.2.2012 (semalam) telah sebulat suara memutuskan memecat keahlian Tan Tee Beng dan Zamil Ibrahim kerana terus-menerus melakukan pelanggaran melampau terhadap disiplin parti, berkuat kuasa serta-merta."
Kata beliau, kedua-dua mereka boleh merayu kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat terhadap pemecatan tersebut dalam masa 14 hari.
Tee Beng juga merupakan anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat dan Ahli Parlimen Nibong Tebal.
Kedua-dua pemimpin itu merupakan antara mereka yang melahirkan pandangan kritis terhadap Zaid sejak presiden itu melahirkan cadangan mahu membubarkan Kita, minggu lalu.
Khamis lalu, Zaid berkata, keputusan membubarkan Kita terpaksa dibuat untuk menghapuskan sebarang keraguan yang mendakwa bahawa pihaknya tidak memihak kepada pembangkang, terutama dengan beberapa anggota-anggota parti di Kedah dan Pulau Pinang secara terbuka mengkritik Pakatan Rakyat (PR).
Laporan media semalam menyebut lima pengerusi negeri Kita akan mengadakan usul tergempar bagi mendesak Zaid meletak jawatan sebagai presiden parti.
Zamil menambah, Kita Kedah akan mengadakan mesyuarat khas pada Jumaat bagi membincangkan perkembangan semasa.
"Satu ketetapan juga akan dibuat pada mesyuarat itu," katanya lagi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan