Sabtu, 4 Februari 2012

ZAID DAN SAHRIZAT: SAMA TAPI TAK SERUPA ?

'Orang mahu saya undur ada motif politik peribadi'


Shahrizat Abdul Jalil (tengah, belakang) dikerumuni orang ramai yang ingin bersalaman dengannya pada majlis Pemantapan Jentera Pilihan Raya Wanita Barisan Nasional peringkat negeri Perak di Padang Kampung Bata, Beruas, Perak, semalam.


BERUAS 4 Feb. - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mendakwa pihak yang mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Wanita UMNO dan menteri Kabinet mempunyai motif politik peribadi.
Beliau berkata, pihak berkenaan juga tidak mewakili suara 1.3 juta ahli Wanita UMNO secara keseluruhannya.
"Setitis air di lautan tidak menjadikan lautan. Kamu perlu tahu mereka yang meminta saya berundur, jika dilihat pada latar belakang politik dan jika kamu buat kajian yang cetek pun, kamu akan tahu kenapa mereka suruh (berundur)," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Pemantapan Pilihan Raya Wanita Barisan Nasional (BN) Perak yang dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di Kampung Bakar Bata di sini hari ini.
Baru-baru ini, beberapa pihak termasuk bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz meminta Shahrizat melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan selepas dikaitkan dalam isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).
Shahrizat menegaskan, beliau tidak sesaat pun merasakan diketepikan oleh pemimpin dan ahli Wanita peringkat akar umbi, malah, semakin ramai yang menyokongnya dalam menghadapi dugaan tersebut.
"Mungkin golongan bapa tidak memahami naluri wanita tetapi saya tidak sesaat pun rasa diketepikan. Malah, di mana-mana pun saya pergi, dakapan mereka kepada saya lagi kuat sebab mereka juga seorang ibu, isteri dan pemimpin seperti saya," katanya.
Shahrizat sebelum ini bercuti rehat daripada menjalankan tugas sebagai menteri selama tiga minggu mulai 13 Januari bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung isu NFC yang dikaitkan dengannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan