Isnin, 6 Februari 2012

KITA TUNGGU KEPUTUSAN MESYUARAT KITA: BUBAR ATAU TIDAK ?

Pemimpin negeri masih harap Kita tak dibubar

6 Februari 2012
ZAID IBRAHIM
SHAH ALAM - Pemimpin-pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) masih meletakkan harapan agar parti itu tidak dibubarkan, sebaliknya mahu segala isu yang timbul diselesaikan menerusi perbincangan.
Pada masa yang sama, beberapa pemimpin yang tidak bersetuju dengan cadangan pembubaran mahu Presidennya, Datuk Zaid Ibrahim berundur untuk memberi laluan kepada pemimpin lain.
Pengerusi Kita Johor, Dr Mohd Zaid Mohd Yusof berkata, beliau masih berkeyakinan bahawa Zaid tidak akan membubarkan Kita.
"Apapun saya berharap Datuk Zaid akan membawa perkara ini ke mesyuarat pemimpin tertinggi untuk dibincangkan... kita tungg dan lihat dulu apa yang hendak diperkatakan oleh Datuk Zaid, nampaknya kita kena tunggu," kata beliau ketika ditanya mengenai kenyataan Zaid lewat malam tadi bahawa cadangan untuk membubarkan Kita masih kekal dan ia akan dibincangkan pada akhir bulan ini.
Ketika dihubungi Sinar Harian Online semalam, Zaid menegaskan, cadangan beliau mahu membubarkan Kita, yang diterajuinya masih kekal dan usul berkenaan akan dibawa ke mesyuarat majlis eksekutif hujung bulan ini.
Zaid mengumumkan cadangan untuk membubarkan parti berusia setahun itu pada Khamis lalu.
"Ia (cadangan untuk membubarkan Kita) kekal. Saya akan membawa usul itu ke mesyuarat majlis eksekutif pada hujung bulan ini," kata beliau.
Presiden Kita itu menjelaskan, apa yang dilaporkan oleh media awal hari ini "tidak betul."
Dalam kenyataan semalam, Mohd Zaid berkata, beliau difahamkan Zaid telah menarik balik keputusan untuk membubarkan Kita.
Justeru kata Mohd Zaid, jika benar perkembangan tersebut, pihaknya menyambut baik keputusan itu memandangkan memang tiada alasan atau sebab Kita harus dibubarkan.
"Jadi, nampaknya saya diberi maklumat yang salah. Pegawai peyelaras parti telah memberikan maklumat yang salah. Saya pun telah cuba menghubungi Datuk Zaid, tetapi tidak dapat," katanya lagi.
Dalam pada itu, Pengerusi Kita Kedah, Zamil Ibrahim terus mendesak agar Zaid dan para penyokongnya keluar Kita jika mendakwa ada penyokong yang akan mengikut beliau.
"Saya cabar ia bersama penyokong setianya keluar dan sertailah mana-mana parti yang mempelawa mereka. Saya percaya ahli Kita tidak mudah tertipu atau diperkudakan. Adakah ahli Kita bodoh nak ikut pemimpin macam ini?" kata beliau dalam satu kenyataan.
Zamil yang sebelum ini melahirkan pendirian tidak setuju dengan cadangan Zaid menambah, "saya menyeru ahli-ahli Kita di seluruh Malaysia agar bersabar sementara saya dan teman-teman menyusun plan-plan tertentu demi menjaga serta memperkasakan kembali parti Kita untuk masa hadapan."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan